Bina Puri meterai MOU dengan firma Korea Selatan Hanil Electric bagi projek EPCC di Sarawak bernilai RM220 juta  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Puri meterai MOU dengan firma Korea Selatan Hanil Electric bagi projek EPCC di Sarawak bernilai RM220 juta 

Dari kiri: Pui Yin Kui, Chai Chan Wee, Goh Kee Lun, ADUN Serembu Miro Simuh, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bersama Kang Jae Sung, Jin Hyungjoo dan Lee Seung Jun.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept – Bina Puri Holdings Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Hanil Electric Group Co Ltd dari Korea Selatan berhubung kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi kilang pembuatan Hanil bernilai AS$50 juta (RM220 juta) yang bakal dibina di Sarawak.

 

Di bawah terma MOU tersebut, Hanil akan, sepanjang fasa perancangan dan pembangunan kilang berkenaan, memaklumkan Bina Puri mengenai perkembangan penting yang berkaitan serta memberikan keutamaan kepadanya berbanding pihak ketiga lain dalam proses tender dan rundingan EPCC.

 

Bina Puri juga akan dilantik sebagai wakil eksklusif Hanil bagi promosi, pengedaran dan pembangunan pasaran produk Hanil di Malaysia, di samping meneroka peluang pengembangan ke pasaran Asia Tenggara yang lain.

 

Selain itu, Bina Puri akan secara aktif mempertimbangkan penggunaan teknologi dan produk Hanil dalam projek-projek sedia ada dan akan datang, dengan tujuan meningkatkan kecekapan, kelestarian serta pematuhan kepada piawaian pembinaan moden.

 

“Kami amat berbesar hati dipilih oleh Hanil sebagai ejen eksklusif mereka di Malaysia bagi produk premium dan berkualiti, selain berpotensi menjadi kontraktor EPCC untuk kilang pembuatan mereka pada masa hadapan,” kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun dalam satu kenyataan.

 

Menyaksikan majlis pemeteraian MOU itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu, Miro Simuh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu, Dr Simon Sinang.

 

Bina Puri diwakili Pui Yin Kui, Ketua Pegawai Operasi (Pembinaan) dan Chai Chan Wee, Ketua Pegawai Operasi Pejabat GMD/GCEO.

 

Manakala di pihak Korea Selatan ialah Kang Jae Sung, Ketua Pegawai Eksekutif Hanil Electric Company Limited; Jin Hyungjoo, Ketua Pegawai Strategi (Bahagian Strategi Masa Hadapan) dan Lee Seung Jun, Penolong Pengurus (Bahagian Strategi Masa Hadapan).

 

Pada awal Ogos 2025, Bina Puri telah menerima surat daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (Corporate Debt Restructuring Committee) Bank Negara, yang meluluskan permohonan syarikat itu untuk bantuan dalam usaha memediasi antara Bina Puri dan pemiutang.

 

Menurut Goh, ia merupakan satu pencapaian penting dalam usaha Bina Puri menyusun semula hutang serta mengembalikan kedudukannya kepada keadaan kewangan yang kukuh, sekali gus menangani liabiliti syarikat demi memastikan kelangsungan pada masa hadapan.

 

Goh menambah, kumpulan itu kini sedang bersedia untuk merebut peluang baharu serta giat membida projek-projek baharu di Sarawak dan beberapa bahagian lain di Malaysia.

 

“Dengan semua usaha ini, Bina Puri kini berada di landasan yang semakin kukuh. Kami yakin kami akan berjaya memulihkan kesihatan kewangan kumpulan dan seterusnya meningkatkan nilai kepada para pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com