KUALA LUMPUR 11 Okt - Jumlah pelaburan gabungan di bawah Dana Perintis Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Jelawang Capital milik Khazanah Nasional Bhd akan meningkat kepada RM750 juta daripada RM550 juta sebelum ini, bagi mempercepat pertumbuhan ekosistem pemula niaga dan inovasi negara, sekali gus menyokong pembangunan teknologi serta penciptaan pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed, berkata melalui inisiatif Government-linked Enterprises Activation and Reform Programme (GEAR-uP) yang dilaksanakan menerusi Dana Pemacu dan Dana Perintis, KWAP kekal komited memobilisasi modal bagi memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia serta memacu enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.
“Sehubungan itu, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan di bawah Dana Pemacu untuk membina landskap pelaburan domestik yang dinamik, dengan tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti peralihan tenaga, keselamatan makanan, dan ekonomi digital, sejajar dengan penekanan Belanjawan 2026 terhadap industri berasaskan inovasi dan penciptaan nilai,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, KWAP dan Khazanah Nasional akan melabur bersama sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor, langkah strategik bagi memperkukuh kerjasama antara syarikat tempatan dan pemain multinasional, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global dalam pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah.
Selain itu, KWAP turut memeterai kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi melaksanakan projek kediaman warga emas di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas dengan komitmen pelaburan sebanyak RM300 juta, di samping menilai pelaksanaan projek seumpamanya di lokasi lain bagi memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas berpendapatan rendah.
“KWAP akan terus melabur dengan matlamat yang jelas — memperkukuh daya tahan kewangan negara sambil meningkatkan taraf hidup rakyat yang kami berkhidmat,” tambahnya. - DagangNews.com








