Belanjawan 2026 dijangka jadi pemangkin baharu sektor hartanah - TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026 dijangka jadi pemangkin baharu sektor hartanah - TA Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept - Belanjawan kerajaan selama ini sering dianggap sebagai “non-event” bagi sektor hartanah negara, dengan kebanyakan langkah hanya memberikan lonjakan permintaan jangka pendek, menurut TA Research.

 

"Namun, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini dijangka memecah kebiasaan tersebut apabila kerajaan bersedia memperkenalkan agenda pembaharuan lebih menyeluruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," kata firma itu dalam nota penyelidikan terbaharunya hari ini.

 

Secara tradisinya kata TA Research, inisiatif berfokus hartanah — seperti pengecualian duti setem, penambahbaikan skim sewa untuk dimiliki (RTO), serta Kempen Pemilikan Rumah (HOC) — hanya meningkatkan urus niaga buat sementara waktu dan gagal mengubah asas sektor secara kekal.

 

Penjimatan kos antara RM10,000 hingga RM30,000 seunit kebiasaannya kembali normal sebaik sahaja kempen tamat, manakala kos pembinaan yang meningkat dan sentimen berhati-hati dalam kalangan pembeli terus membebankan pemaju.

 

"Data pasaran turut menyokong impak yang terhad ini.

 

"Indeks KLPRP, penanda aras kaunter hartanah, mencatatkan kenaikan sederhana sebelum pembentangan Belanjawan — purata +1.9% dalam tempoh seminggu sebelum Hari Belanjawan antara 2019 hingga 2025 — menunjukkan pelabur lazimnya mengambil posisi positif menjelang pengumuman dasar perumahan dan infrastruktur.

 

"Namun, prestasi pasca-Belanjawan lebih berubah-ubah, dengan purata –1.0% dan ayunan antara –3.9% selepas Belanjawan 2024 hingga +2.2% selepas Belanjawan 2021," kata firma tersebut.

 

“Belanjawan secara sejarahnya bukanlah pemangkin utama pendapatan bagi saham hartanah, tetapi optimisme pra-Belanjawan cenderung mengangkat sentimen buat sementara waktu,” menurut TA Research lagi.

 

“Dinamik ini berpotensi menjadi lebih ketara menjelang Belanjawan 2026 memandangkan agenda pembaharuannya yang bersifat struktur.”

 

Antara langkah utama yang dijangka diperkenalkan dalam Belanjawan 2026 termasuk:

  • Agensi Perumahan Nasional – badan pusat untuk menyelaraskan dasar, pembiayaan dan penyediaan rumah mampu milik.

  • Penjelasan model Bina-Dahulu-Jual-Kemudian (10:90) – memberikan kerangka perkongsian risiko yang lebih jelas antara pemaju dan pembeli.

  • Pengoperasian Akta Pembaharuan Bandar – bagi memodenkan aset lama di kawasan bandar.

  • Penyelarasan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) – menggalakkan amalan pembinaan lebih hijau dan produktif.

 

Selain itu, penegasan semula projek mega pengangkutan — LRT3, Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) — bersama sokongan fiskal bagi koridor ekonomi utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kluster E&E Pulau Pinang, SCORE di Sarawak, dan SDC di Sabah dijangka merangsang permintaan tanah, industri dan perumahan di pelbagai wilayah.

 

Pelaburan berpaksikan koridor ini dijangka memacu pertumbuhan pusat data, logistik, pembuatan berteknologi tinggi serta tenaga hiliran, sekali gus memacu penciptaan pekerjaan dan peningkatan upah.

 

Ini berpotensi meningkatkan kemampuan memiliki rumah secara struktur melepasi subsidi sementara, mengalihkan sektor daripada suntikan permintaan bersifat kitaran kepada pembaharuan sistemik.

 

"Bagi pelabur, implikasinya jelas: Belanjawan 2026 mungkin menjadi yang pertama dalam beberapa tahun yang benar-benar berupaya merombak prospek sederhana hingga jangka panjang saham hartanah, bergerak melangkaui kenaikan sentimen pra-Belanjawan kepada penilaian semula yang lebih mampan ke atas asas sektor," kata TA Research. - DagangNews.com