Bekas Pengarah Urusan AT Systematization didakwa sebabkan kerugian salah laku RM16.35 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Pengarah Urusan AT Systematization didakwa sebabkan kerugian salah laku RM16.35 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Okt – Bekas Pengarah Urusan AT Systematization Berhad (kini dikenali sebagai Erkdasan Group Berhad) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas kesalahan menyebabkan kerugian salah laku berjumlah RM16.35 juta kepada syarikat tersebut.

 

Suruhanjaya Sekuriti (SC) memaklumkan, Choong Lee Aun, 59, berdepan 41 pertuduhan di bawah Seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana didakwa membuat pembayaran berjumlah RM16.35 juta kepada dua syarikat – Delta Million Dynamic Sdn Bhd dan Midas Mode Sdn Bhd – dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah laku kepada ATS.

 

Kesalahan tersebut didakwa berlaku antara Jun 2020 hingga November 2021 di Petaling Jaya, Selangor.

 

Seksyen 317A(1) CMSA memperuntukkan bahawa mana-mana pengarah atau pegawai kepada syarikat tersenarai tidak boleh melakukan sebarang tindakan dengan niat menyebabkan kerugian salah laku kepada syarikat atau syarikat berkaitannya.

 

SC dalam kenyataan berkata, jika sabit kesalahan, Lee Aun boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak melebihi RM10 juta bagi setiap pertuduhan.

 

Lee Aun mengaku tidak bersalah ke atas kesemua 41 pertuduhan yang dikemukakan di tiga mahkamah berasingan, dan dibenarkan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM420,000.

 

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron, beliau dikenakan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin tempatan, selain diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan kepada pegawai penyiasat SC.

 

Bagi dua pertuduhan lain di mahkamah berasingan, Lee Aun dibenarkan jaminan sebanyak RM100,000 di hadapan Hakim Azrul Darus dan RM120,000 di hadapan Hakim Norma Ismail — dengan syarat tambahan yang sama seperti sebelumnya.

 

SC berkata, pendakwaan terhadap Lee Aun adalah hasil kerjasama erat antara agensi penguat kuasa undang-undang dalam dan luar negara yang mencerminkan komitmen untuk memastikan pesalah undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan.

 

SC turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) dan Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports (AVSEC) atas bantuan yang diberikan dalam kes ini. - DagangNews.com