KUALA LUMPUR 15 Julai – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengarah Kyaputen Sdn. Bhd., Muhamad Fadzli Jamaludin selepas didapati bersalah menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen dan melakukan kesalahan pengubahan wang haram membabitkan kerugian pelabur berjumlah RM1.263 juta.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan berkata, Fadzli disabitkan atas 12 pertuduhan, merangkumi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menawarkan perkhidmatan pengurusan dana tanpa lesen serta sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Fadzli pada mulanya didakwa oleh SC pada 9 November 2023 atas tiga pertuduhan berkaitan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen sebelum berdepan sembilan lagi pertuduhan pengubahan wang haram pada 29 November 2023. Kedua-dua kes tersebut dibicarakan secara serentak.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 23 saksi termasuk enam mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1.263 juta, melibatkan kesalahan yang dilakukan antara Ogos 2018 hingga April 2020 di Kuala Lumpur dan Melaka.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril dalam penghakimannya memutuskan bahawa Fadzli gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap satu daripada 12 pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman dijalankan secara serentak.
Artikel berkaitan: SC dakwa bekas pengarah Kyaputen kes pengubahan wang haram bernilai lebih RM1.23 juta
Di bawah Seksyen 58(1) CMSA, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA pula, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
SC berkata, aktiviti pengurusan dana merupakan aktiviti yang dikawal selia dan mana-mana individu yang menjalankan atau menawarkan perkhidmatan tersebut diwajibkan memiliki lesen daripada suruhanjaya itu.
Sehubungan itu, SC mengingatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan individu atau entiti yang dilesenkan bagi menjalankan aktiviti terkawal seperti pengurusan dana.
Pelabur juga disaran membuat semakan terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi, menerusi kemudahan Investment Checker yang disediakan oleh SC sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. - DagangNews.com








