Bekas Pengarah Eksekutif Tropicana, Allan Ngu dilantik sebagai CEO Teladan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Pengarah Eksekutif Tropicana, Allan Ngu dilantik sebagai CEO Teladan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 31 Okt - Pemaju hartanah berpangkalan di Melaka, Teladan Group Bhd mengumumkan pelantikan Allan Ngu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu kumpulan itu berkuat kuasa 1 November 2025.

 

Menurut kenyataan syarikat, pelantikan Ngu sejajar dengan strategi Teladan untuk memperkukuh kecekapan operasi dan memperluas skala perniagaan, selaras dengan aspirasi kumpulan untuk membina portfolio hartanah yang lebih pelbagai dan mampan.

 

Allan Ngu
Allan Ngu

 

Ngu, 46, mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam pelbagai sektor termasuk perbankan pelaburan, pembangunan hartanah, pembinaan dan perdagangan bahan binaan, perhotelan dan pemprosesan ayam bersepadu.

 

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa syarikat terkemuka seperti Tropicana Corp Bhd, Grand Hoover Bhd, Setia Awan Group (Lagenda Properties Bhd) dan Aikbee Group, selain memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Harumi Brands Sdn Bhd di Perak.

 

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kewangan) dari Curtin University, Perth, Australia.

 

Pengarah Urusan Teladan Group, Richard Teo berkata pelantikan Ngu akan memperkukuh kepimpinan syarikat pada ketika kumpulan sedang mempercepatkan pengembangan ke luar segmen kediaman dan komersial kepada pembangunan industri.

 

“Pengalaman luas Ngu dalam strategi korporat dan pelaburan akan membantu Teladan membuka potensi penuh tanah simpanan kami seluas 339.1 hektar, yang dianggarkan bernilai RM2.85 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV).

 

“Kami yakin beliau mampu membawa hala tuju strategik baharu untuk memacu pertumbuhan mampan ketika kumpulan memperluas jejak operasi di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Teladan Group yang kini tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dikenali dengan rekod kukuh dalam pembangunan kediaman berkualiti di Melaka dan Negeri Sembilan. 

 

Syarikat itu bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan menumpukan kepada pembangunan bercampur dan sektor industri, di samping mengekalkan komitmen terhadap reka bentuk mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com