Bekas Menteri Kewangan kritik dividen KWSP 2025 tidak mencapai tahap 2024 sebanyak 6.3% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Menteri Kewangan kritik dividen KWSP 2025 tidak mencapai tahap 2024 sebanyak 6.3%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Mac - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengkritik kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2025 yang hanya 6.15%, tidak mencapai tahap 2024 sebanyak 6.3%, walaupun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi kukuh tahun lalu.

 

Lim menegaskan, keputusan dividen yang lebih rendah ini menimbulkan kebimbangan serius bagi 90% rakyat biasa dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

 

Beliau memberi amaran, jika ekonomi global terganggu oleh perang di Timur Tengah dan ketegangan perdagangan, dividen KWSP 2026 boleh jatuh lebih rendah lagi.

 

Menurut Lim, dua faktor utama menyumbang kepada penurunan dividen 2025: pertumbuhan Bursa Malaysia (KLCI) yang hanya 2.3% berbanding 12.9% pada 2024, dan pengukuhan ringgit sebanyak 10.1% terhadap dolar AS yang menurunkan nilai aset antarabangsa KWSP dalam mata wang asing.

 

“Kalau dividen KWSP boleh terjejas walaupun ekonomi kelihatan kukuh, bayangkan kesan kepada majoriti rakyat dan MSME yang bergantung kepada simpanan mereka dan aliran tunai sebenar,” katanya.

 

Lim turut menekankan risiko Malaysia kini menghadapi ekonomi K-shaped, di mana keuntungan pertumbuhan ekonomi hanya dinikmati oleh golongan 10% teratas, manakala M40, B40, dan MSME berdepan tekanan sebenar.

 

Pengukuhan ringgit juga menekan sektor eksport, yang menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi 2025, hingga menjejaskan margin keuntungan.

 

Beliau menyeru penggubal dasar ekonomi bertindak segera bagi melindungi MSME, menyelamatkan simpanan rakyat, dan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya memberi manfaat kepada golongan elit.

 

“Ini bukan sekadar isu dividen KWSP. Ia soal keadilan ekonomi dan survival rakyat majoriti,” tegas Lim.

 

solar

 

Dua faktor dividen 6.15%

KWSP, melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn pada Sabtu, menjelaskan dividen 6.15% disebabkan dua faktor utama:

  1. Pulangan ekuiti lebih perlahan – Pertumbuhan Bursa Malaysia (KLCI) hanya 2.3% pada 2025, jauh lebih rendah berbanding 12.9% pada 2024, menjejaskan pulangan pelaburan ekuiti KWSP.

  2. Pengukuhan ringgit terhadap dolar AS – Ringgit mengukuh 10.1% terhadap dolar, menyebabkan sebahagian aset antarabangsa KWSP, terutamanya dalam USD, menurun dalam nilai ringgit.

 

KWSP menegaskan bahawa keputusan dividen dibuat dengan mengambil kira keselamatan pelaburan jangka panjang dan kelangsungan simpanan pekerja. - DagangNews.com