Bekas CEO Kumpulan Axiata, Jamaludin Ibrahim dilantik anggotai lembaga Institut Pengarah Korporat Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO Kumpulan Axiata, Jamaludin Ibrahim dilantik anggotai lembaga Institut Pengarah Korporat Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) mengumumkan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang baharu untuk memperkukuh kepimpinan dan profesionalisme lembaga itu dalam memacu tadbir urus korporat di negara ini.

 

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad itu membawa pengalaman lebih 40 tahun dalam sektor korporat dan lembaga, merangkumi pelbagai industri termasuk teknologi maklumat, telekomunikasi, pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan makanan, dan penerbangan. 

 

Ketika bertugas di Axiata, beliau berjaya mengembangkan syarikat itu menjadi peneraju serantau yang diiktiraf di peringkat global dengan operasi di 11 negara.

 

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Communications Berhad semasa fasa permulaan industri mudah alih.

 

ICDM dalam satu kenyataan memaklumkan Jamaludin juga pernah memegang jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad dan Air Asia Aviation Group Ltd, serta Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Sunway Berhad.

 

“Pengalaman luas beliau dalam kepimpinan dan tadbir urus korporat dijangka membantu ICDM dalam memperkukuh keupayaan lembaga serta menyokong pertumbuhan dan relevansi serantau.

 

“Beliau turut menyumbang kepada dasar negara sebagai bekas anggota Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia dan Majlis Ekonomi Digital. Beliau kini memegang jawatan Pengerusi QSR Brands Holdings Bhd dan merupakan ahli lembaga SEEK Limited serta NEXTDC di Australia,” menurut ICDM.

 

Beliau juga menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Pengerusi GSMA pada tahun 2015 atas sumbangannya dalam pembangunan komunikasi mudah alih di seluruh dunia.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga ICDM Tan Sri Zarinah Anwar berkata pelantikan itu membawa perspektif strategik serta tumpuan terhadap pembangunan kepimpinan dan sumber manusia yang akan memperkukuh keupayaan kolektif lembaga.

 

“Sumbangan dan pandangan Tan Sri Jamaludin amat berharga dalam membimbing ahli membina organisasi berprestasi tinggi yang kompetitif di peringkat global,” katanya.

 

Institut Pengarah Korporat Malaysia merupakan institut pengarah negara yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan disokong oleh Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, serta Dana Pembangunan Pasaran Modal.

 

ICDM memberi tumpuan kepada pembangunan profesional berterusan, tadbir urus korporat yang mantap dan pembangunan budaya tadbir urus yang cemerlang di Malaysia. - DagangNews.com