KUALA LUMPUR 20 Ogos - Keupayaan menyediakan bekalan air dan tenaga yang mencukupi merupakan antara tarikan utama bagi pelabur dalam sektor semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara ini diperkukuh lagi dengan keupayaan negara menyediakan kepakaran tenaga kerja profesional, yang menjadi keperluan strategik utama pelabur.
“Dua aspek ini (air dan tenaga) sangat strategik, dan saya ingin menegaskan bahawa kita tidak akan mampu mengekalkan kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan berkeupayaan jika kita tidak dapat menyelesaikan isu berkaitan air dan tenaga.
“Ia bukan sahaja soal menyediakan (kemudahan air dan elektrik kepada pelabur), tetapi juga bagaimana kita menguruskan (harga) air dan tenaga pada tahap yang munasabah tanpa membebankan rakyat,” katanya ketika merasmikan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA2) di sini pada Rabu (20 Ogos).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia terus berdepan isu pembaziran, khususnya melibatkan Air Tidak Berhasil (NRW) akibat amalan penggunaan dan kelemahan sistem paip lama.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga menteri bertanggungjawab, telah beberapa kali membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet, dan selepas perbincangan, ia akan dijadikan antara keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Perdana Menteri berkata dari segi pengurusan air, memastikan keselesaan serta memenuhi keperluan rakyat kekal sebagai keutamaan kerajaan.
“Bagaimana sebuah negara yang mempunyai banyak sumber air, dengan banjir berlaku dua atau tiga kali setahun, masih boleh menghadapi masalah kekurangan air? Itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena, bukan kerana takdir Allah, tetapi disebabkan kurangnya daya cipta manusia.
“Ambil Jordan sebagai contoh. Mereka hanya mengalami hujan lebat dua atau tiga kali setahun, tetapi mereka mampu menyimpan air untuk kegunaan ketika diperlukan. Sebab itu teknologi kita bukan sahaja mesti tertumpu kepada kemajuan, tetapi juga memastikan langkah penjimatan air dilaksanakan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan. - DagangNews.com








