KUALA LUMPUR 30 Jan – BateriHub mencatat pencapaian penting apabila memiliki 200 cawangan di seluruh negara yang memperkukuh kedudukannya sebagai rangkaian runcit bateri kereta milik langsung terbesar di Malaysia dari segi bilangan cawangan dan keluasan lantai.
Pencapaian tersebut turut diiktiraf ASEAN Records yang menganugerahkan BateriHub sebagai First and Largest Direct-Owned Car Battery Retailer by Branch Count and Floor Area, merangkumi 200 cawangan dengan keluasan keseluruhan lebih 340,000 kaki persegi.
Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama BateriHub Kok Wai Kit berkata skala operasi pada tahap ini bukan lagi sekadar soal pertambahan cawangan, sebaliknya menumpukan keupayaan mengekalkan kualiti perkhidmatan ketika permintaan meningkat atau apabila pelanggan memerlukan bantuan di luar kawasan bandar utama.
“Model operasi milik langsung sepenuhnya membolehkan syarikat melatih kakitangan secara seragam, mempercepatkan penugasan juruteknik serta memastikan keputusan operasi dibuat hampir dengan barisan hadapan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga Januari 2026, BateriHub meliputi lebih 500 kawasan perkhidmatan di 11 negeri termasuk Lembah Klang serta Kedah, Terengganu dan Kelantan, sekali gus memperluas akses perkhidmatan penggantian bateri tepi jalan kepada pengguna di luar bandar.
Pada masa ini, syarikat mengendalikan 200 cawangan dengan tenaga kerja melebihi 460 orang dan telah memberi perkhidmatan kepada lebih 1 juta pelanggan sejak penubuhannya.

Ia turut menerima lebih 70,000 ulasan positif di platform Google, Facebook dan e-dagang.
Seorang lagi Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Wong Wai Loong berkata, pencapaian 200 cawangan adalah hasil usaha kolektif merangkumi logistik, operasi, juruteknik, khidmat pelanggan dan pasukan sokongan yang bergerak seiring selama ini.
“Fokus syarikat selepas ini adalah untuk berkembang dengan lebih berkualiti dan mampan, termasuk dalam aspek pembangunan bakat serta penambahbaikan sistem operasi, bukan sekadar memperbesar saiz rangkaian,” katanya.
Pertumbuhan BateriHub disokong oleh tiga faktor utama iaitu model milik langsung 100% yang memastikan konsistensi harga dan kualiti, pelaburan berterusan dalam latihan dan sistem, serta pendekatan berasaskan data dalam pemilihan lokasi dan pelaksanaan operasi.
Ketika ini, BateriHub menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan termasuk penggantian bateri secara walk-in, bantuan tepi jalan, penghantaran bateri dan perkhidmatan jumpstart yang diselaraskan melalui pusat khidmat pelanggan dan sistem penugasan juruteknik berpusat.
Ke hadapan, BateriHub merancang untuk memperkukuh kehadiran domestik termasuk memasuki pasaran Malaysia Timur sekitar suku ketiga 2026, selain menilai peluang pengembangan serantau dengan Singapura dan pasaran ASEAN lain sebagai sebahagian daripada pelan strategik lima tahunnya. - DagangNews.com








