Bank Negara tolak guna ringgit untuk sokong eksport | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Negara tolak guna ringgit untuk sokong eksport

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 30 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pelaksanaan pembaharuan berterusan akan terus menyokong ringgit, sambil menolak penggunaan mata wang itu sebagai instrumen untuk meningkatkan daya saing eksport, yang menurutnya lebih ditentukan oleh permintaan global.

 

“Ringgit tidak pernah menjadi instrumen untuk daya saing eksport,” kata BNM dalam jawapan bertulis kepada Bloomberg. Walaupun bank pusat akan terus memastikan “keadaan teratur” dalam pasaran pertukaran asing, “ringgit ditentukan oleh pasaran”.

 

Kenyataan itu dibuat ketika ringgit mengatasi semua mata wang Asia lain pada 2026, meningkat 3% selepas melonjak sekitar 10% tahun lalu.

 

Prestasi ini berbeza ketara dengan Indonesia bulan ini, apabila pasaran ekuitinya mencatat kejatuhan terburuk sejak 1998 dan rupiah merosot ke paras terendah berbanding dolar AS.

 

Di sebalik pengukuhan ringgit, Malaysia mencatat pertumbuhan eksport yang mantap, dengan penghantaran barangan perkilangan mencapai rekod tertinggi pada Disember.

 

Angka eksport terkini menyerlahkan daya tahan Malaysia walaupun berdepan tarif Amerika Syarikat sebanyak 19% yang berkuat kuasa tahun lalu.

 

Ringgit diniagakan 0.2% lebih rendah pada 3.9375 berbanding dolar AS pada jam 12:15 tengah hari waktu Kuala Lumpur.

 

Permintaan global memainkan “peranan yang lebih besar” dalam memacu eksport berbanding ringgit, kata BNM, sambil menyatakan pihaknya terus “memerhati penukaran yang stabil” hasil mata wang asing pengeksport kepada ringgit.

 

Prestasi pertumbuhan Malaysia juga menonjol berbanding beberapa rakan serantau. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berkembang 4.9%, melebihi unjuran kerajaan sebanyak 4% hingga 4.8%, disokong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan yang kukuh.

 

Sebaliknya, pertumbuhan KDNK penuh tahun Filipina bagi tahun lalu perlahan kepada 4.4%, di bawah sasaran rasmi 5.5% hingga 6.5%.

 

“Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan,” kata BNM, dengan merujuk kepada permintaan domestik dan aktiviti pelaburan, meskipun terdapat risiko luaran. “Ini, bersama pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan, akan memberikan sokongan berterusan dan mampan kepada ringgit.”  - DagangNews.com