Bank Negara denda Syarikat S M Ziaudeen RM193,500; Alipay RM340,000 kerana ketidakpatuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Negara denda Syarikat S M Ziaudeen RM193,500; Alipay RM340,000 kerana ketidakpatuhan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti kewangan pentadbiran sebanyak RM193,500 ke atas Syarikat S M Ziaudeen Sdn Bhd (SSMZ) dan RM340,000 ke atas Alipay Malaysia Sdn Bhd (Alipay) berhubung ketidakpatuhan terhadap peraturan.

 

Dalam satu kenyataan, BNM berkata, SSMZ telah melanggar kewajipan berkaitan customer due diligence (CDD) dan ongoing due diligence (ODD) di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA).

 

Penalti tersebut, yang dikenakan pada 28 Ogos 2024, adalah berkaitan pelanggaran Seksyen 74 dan 75(1)(b) MSBA, dibaca bersama Dokumen Dasar Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions for Financial Institutions (AML/CFT and TFS for FIs PD).

 

 

 

 

 

 

BNM mengesan ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di premis. SSMZ gagal melaksanakan CDD terhadap pelanggan individu dan korporat melibatkan 22 transaksi pertukaran wang melebihi RM3,000 setiap satu.

 

SSMZ juga gagal melaksanakan ODD ke atas satu transaksi pelanggan walaupun ia ditandakan sebagai berisiko tinggi dalam sistemnya.

 

Sebagai respons, SSMZ telah mengambil langkah pemulihan dengan memperkukuh prosedur operasi standard serta meningkatkan latihan pekerja.

 

SSMZ telah menjelaskan penalti itu pada 28 Ogos 2025.

 

Sementara itu Alipay, BNM berkata penalti sebanyak RM340,000 itu, yang dikenakan pada 19 Jun 2025, berpunca daripada pelanggaran perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), yang turut dibaca bersama dokumen dasar AML/CFT and TFS for FIs PD.

 

Ketidakpatuhan itu dikesan oleh BNM selepas Alipay melaporkan beberapa transaksi yang dijalankan oleh seorang pelanggan yang dikenal pasti sebagai entiti tertentu dalam Domestic List.

 

Alipay didapati gagal mengemas kini pangkalan data sekatan dalaman selepas senarai tersebut dipinda dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan. Kelewatan itu memberi kesan terhadap proses saringan pelanggan, pembekuan akaun, serta pelaporan segera kepada BNM.

 

 

 

 

 

 

Alipay telah menjelaskan penalti tersebut pada 3 Julai 2025.

 

BNM menambah, tindakan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan prosedur yang digariskan di bawah Pendekatan Penguatkuasaan bank pusat itu. - DagangNews.com