Bank Dunia sifatkan umur pengeluaran KWSP 55 tahun terlalu rendah, cadang naik antara 65 hingga 70 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Dunia sifatkan umur pengeluaran KWSP 55 tahun terlalu rendah, cadang naik antara 65 hingga 70 tahun

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 30 Okt – Bank Dunia menyifatkan umur pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 55 tahun sebagai terlalu rendah berbanding struktur demografi semasa Malaysia yang semakin menua.

 

Dalam laporan terbaharunya bertajuk “Should Malaysia expand its social pension? Global evidence, design issues and options”, Bank Dunia mencadangkan agar umur pengeluaran KWSP dan kelayakan skim pencen sosial dinaikkan secara berperingkat kepada antara 65 hingga 70 tahun.

 

Langkah ini, menurut Bank Dunia, akan lebih sejajar dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang serta dapat meningkatkan manfaat purata yang diterima pesara menerusi skim perlindungan sosial.

 

“Dengan umur jangka hayat yang lebih panjang dan taraf kesihatan yang lebih baik berbanding empat dekad lalu, Malaysia perlu menyemak semula umur kelayakan pencen sosial dan pengeluaran simpanan KWSP agar sistem perlindungan sosial kekal mampan,” kata laporan itu.

 

Ketika ini, umur kelayakan untuk menerima pencen sosial ialah 60 tahun – lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain dan tidak lagi sejajar dengan peningkatan jangka hayat sihat sejak skim tersebut diperkenalkan pada 1982.

 

Berdasarkan analisis Bank Dunia menggunakan data Household Income and Expenditure Survey (HIES) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kemiskinan relatif meningkat dengan ketara seiring peningkatan umur ketua isi rumah – 24 peratus bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, 42 peratus bagi 65 tahun ke atas, dan 49 peratus bagi 70 tahun ke atas.

 

“Data ini menunjukkan risiko kemiskinan meningkat seiring dengan usia,” jelas laporan itu lagi.

 

Bank Dunia turut menegaskan kenaikan umur kelayakan hanya wajar dilaksanakan sekiranya disertai peluasan liputan skim pencen sosial bagi merangkumi golongan yang tiada simpanan persaraan atau pencen tetap.

 

Dari sudut politik dan ekonomi, langkah melaksanakan kedua-duanya secara serentak – iaitu menaikkan umur kelayakan sambil memperluas liputan pencen sosial – dianggap lebih sesuai berbanding memperluas dahulu sebelum menaikkan umur, yang boleh menjejaskan keyakinan awam dan meningkatkan tekanan fiskal kerajaan.

 

Untuk mengelak kesan negatif terhadap penerima sedia ada, mereka akan terus menerima manfaat sedia ada, manakala penerima baharu akan tertakluk kepada umur kelayakan yang lebih tinggi. 

 

Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan menawarkan kadar pencen sosial yang lebih tinggi tanpa menambah beban fiskal secara ketara. - DagangNews.com