KUALA LUMPUR 14 Okt - Bank Dunia mempersoalkan anggaran penjimatan fiskal kerajaan Malaysia daripada program rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang sedang dilaksanakan, sambil menggesa agar ketelusan lebih tinggi terhadap andaian di sebalik angka RM2.5 bilion yang disebut oleh Putrajaya.
Dr Apurva Sanghi, Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, berkata unjuran penjimatan tersebut kelihatan bergantung besar kepada andaian warga asing dan rakyat Malaysia berpendapatan tinggi akan membayar harga pasaran penuh — sesuatu yang mungkin tidak realistik berdasarkan corak penggunaan semasa.
“Angka penjimatan RM2.5 bilion itu banyak bergantung pada warga asing seperti saya yang membayar harga penuh — serta golongan T20 atau lain-lain yang melebihi kuota 300 liter. Tapi berapa ramai sebenarnya yang berbuat demikian?
"Malah golongan T1 pun secara purata tidak melebihi 300 liter,” katanya semasa perbahasan pasca-Bajet 2026 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) pada Isnin, menurut laporan The Edge Market.
“Kita ingin lihat kiraannya, tetapi sehingga kini, Kementerian Kewangan (MOF) belum menunjukkannya,” tambah beliau, sambil menegaskan kerajaan wajar diberi pujian kerana berani memulakan reformasi subsidi selepas bertahun-tahun tertangguh.
Di bawah program subsidi bersasar Budi95 yang berkuat kuasa mulai 30 September, rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah boleh membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter dengan mengesahkan MyKad di pam, kaunter, atau aplikasi stesen minyak yang mengambil bahagian.
Warga asing tidak layak dan perlu membayar harga pasaran RM2.60 seliter.
Menurut MOF, sebelum sistem Budi95 diperkenalkan, kerajaan membelanjakan sekitar RM8 bilion setahun bagi subsidi RON95. Dengan Budi95, penjimatan diunjurkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga minyak mentah global.
Sanghi berkata walaupun sistem berasaskan kuota itu satu langkah permulaan yang baik, kerajaan masih belum menjelaskan sama ada ia sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menamatkan subsidi menyeluruh.
“Jika ini sebahagian daripada pelan untuk mengetatkan kuota atau menamatkan bantuan kepada kumpulan T20, itu baik. Tetapi jelaskan secara terbuka. Kejutan bagus dalam drama Korea, bukan dalam reformasi dasar,” katanya, sambil menegur percanggahan antara matlamat peralihan hijau negara dengan dasar yang masih menggalakkan penggunaan bahan api persendirian.
Beliau menambah, Malaysia boleh mengambil iktibar daripada reformasi subsidi diesel sebelum ini, di mana pelarasan harga membantu membendung penyeludupan dan menyelaraskan harga domestik dengan pasaran.
“Reformasi diesel berjaya kerana harganya diapungkan. Pengajaran itu nampaknya tidak digunakan untuk RON95,” katanya, sambil menjelaskan bahawa secara global, model reformasi paling berkesan ialah gabungan antara liberalisasi harga dan bantuan tunai bersasar.
Menurut beliau, model sebegini membolehkan kerajaan mencerminkan kos pasaran sebenar sambil melindungi golongan berpendapatan rendah melalui bantuan langsung, bukannya mengekalkan subsidi menyeluruh yang lebih banyak menguntungkan golongan kaya.
Beliau menggambarkan pendekatan ini sebagai “penyelesaian buku teks” untuk reformasi subsidi — menyeimbangkan antara disiplin fiskal dan perlindungan sosial. Namun, beliau mengakui realiti politik dan institusi Malaysia — termasuk sensitiviti rakyat terhadap harga bahan api serta keupayaan pentadbiran untuk menyalurkan bantuan bersasar — mungkin memerlukan peralihan yang lebih berperingkat.
MOF: Tumpuan utama adalah menutup ketirisan dahulu
Menjawab kenyataan Sanghi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata fokus kerajaan pada masa ini ialah menutup ketirisan dan membendung penyeludupan rentas sempadan sebelum bergerak ke arah sistem yang lebih halus.
“Berdasarkan analisis kami, penggunaan RON95 di Malaysia adalah sekitar 18 bilion liter. Hanya kira-kira 78% boleh dikenal pasti sebagai penggunaan isi rumah, manakala selebihnya mungkin termasuk penggunaan korporat atau ketirisan. Kita semua pernah lihat RON95 dijual semula dalam botol di seberang sempadan,” katanya.
Johan berkata mekanisme baharu ini dijangka meniru kejayaan reformasi subsidi diesel, yang menyaksikan penurunan mendadak dalam jualan diesel di stesen minyak dan peningkatan pembelian komersial secara langsung oleh pengguna sah.
Beliau juga mengakui faktor “psikologi” dalam isu subsidi bahan api, menyatakan bahawa rakyat Malaysia lebih suka melihat diskaun di pam berbanding menerima bantuan tunai.
“Apabila orang menerima bantuan tunai, mereka anggap itu bonus dan kemudian marah apabila harga naik. Sekurang-kurangnya kini, mereka boleh nampak harga pasaran sebenar di pam dan jumlah subsidi yang mereka nikmati,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan terbuka untuk melaras parameter seperti had kuota atau ambang harga apabila data pelaksanaan semakin jelas, tetapi menegaskan bahawa menangguh reformasi akan hanya memanjangkan distorsi dan kerugian akibat penyeludupan.
“Kita perlu buat keputusan. Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita akan habiskan satu tahun lagi berdebat. Sekurang-kurangnya sekarang, kita sudah capai kemajuan,” katanya. - DagangNews.com








