KUALA LUMPUR 4 Feb - Bank Islam di Malaysia berada di bawah tekanan untuk meningkatkan deposit dan sumber pembiayaan lain susulan pertumbuhan pembiayaan yang kukuh, menurut Fitch Ratings.
Menurut agensi penarafan itu dalam nota sektor, dengan saiz pembiayaan yang hampir menyamai jumlah deposit, profil kecairan bank Islam secara amnya lebih lemah berbanding bank konvensional.
Pertumbuhan pembiayaan yang pantas mendorong bank Islam untuk bersaing mendapatkan deposit dan akaun bagi membiayai pengembangan aset.
“Faktor-faktor ini telah meningkatkan tekanan terhadap margin pembiayaan bank berbanding bank konvensional, sekali gus menjejaskan keuntungan keseluruhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Fitch.
Malaysia merupakan satu daripada pasaran perbankan Islam terbesar di dunia, dengan aset berkembang 7% kepada AS$312 bilion menjelang akhir 2025, lebih pantas berbanding pertumbuhan 4% aset bank konvensional.
Sekitar dua pertiga pembiayaan Islam disalurkan kepada pengguna, lebih tinggi berbanding 57% oleh bank konvensional.
Bagaimanapun, persaingan adalah sengit dengan lebih tiga dozen bank tempatan dan asing, konvensional dan Islam, bersaing merebut perniagaan.
Pada masa sama, bank perlu mengekalkan tahap deposit dan penampan lain yang selesa untuk menyokong pertumbuhan pinjaman.
“Namun, keuntungan bank Islam kekal mencukupi dan usaha bank untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan dijangka dapat mengekalkan jumlah perniagaan dan keuntungan,” kata Fitch.
Agensi penarafan itu juga menjangkakan pertumbuhan aset dan pembiayaan bank Islam akan berterusan pada 2026 selaras dengan peningkatan permintaan pembiayaan patuh syariah daripada isi rumah.
Bahagian pembiayaan Islam yang berkembang didorong oleh keperluan pinjaman perumahan dan strategi “Islamic First” bank-bank sepanjang tahun, menurut laporan Malaysian Islamic Banks Monitor.
Sementara itu, kerugian pembiayaan secara amnya rendah, disokong oleh keadaan pekerjaan yang stabil dan pasaran hartanah, kata agensi itu.
“Kami menjangka metrik kualiti aset kekal kukuh dalam jangka terdekat walaupun leverage sistem isi rumah tinggi tetapi stabil,” tambah Fitch. - DagangNews.com








