KUALA LUMPUR 5 Sept - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) mengembangkan portfolio industrinya dengan pengambilalihan sebuah hartanah industri utama di Pelabuhan Klang, Selangor bernilai RM50 juta.
Pemegang amanah Axis-REIT, RHB Trustees Berhad, telah menandatangani perjanjian jual dan beli dengan Barry Callebaut Malaysia Sdn. Bhd. bagi hartanah yang terletak di Kawasan Industri Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang.
Aset tersebut merangkumi tanah industri pajakan seluas 3.64 hektar atau 9 ekar, menempatkan kilang sesebuah setingkat dengan blok pejabat dua tingkat yang disambung, bangunan pejabat/kantin dua tingkat yang berasingan, gudang sesebuah setingkat dengan blok pejabat dua tingkat serta beberapa bangunan tambahan.
Hartanah ini menawarkan jumlah keluasan lantai kasar kira-kira 240,641 kaki persegi dan menikmati akses rangkaian jalan raya yang baik melalui Lebuhraya Pintasan Utara Klang Baharu, yang bersambung dengan lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Persekutuan.
Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui kemudahan bank sedia ada, dan dijangka meningkatkan nisbah pembiayaan Axis-REIT kepada 33.92% daripada jumlah aset teraudit setakat 31 Disember 2024. Urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2026.
“Pengambilalihan ini menonjolkan strategi kami untuk mendapatkan hartanah di lokasi utama yang mempunyai kemudahan penting seperti lebuh raya dan pelabuhan kontena,” kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May.
“Pelabuhan Klang diiktiraf sebagai pelabuhan kontena ke-10 tersibuk di dunia, menawarkan kelebihan daya saing kepada penyewa industri kami. Penetapan hartanah ini untuk kegunaan industri ringan hingga berat turut meningkatkan fleksibiliti dan membolehkan kami memenuhi keperluan pelbagai jenis penyewa.”
Sebagai amanah pelaburan hartanah pertama di Malaysia, Axis-REIT telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 3 Ogos 2005 dan diklasifikasikan semula sebagai REIT patuh Syariah pada Disember 2008.
Sehingga 30 Jun 2025, Axis-REIT menguruskan portfolio pelbagai 68 hartanah di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah, dengan jumlah nilai aset sebanyak RM5.21 bilion.
Portfolio tersebut merekodkan kadar penghunian sebanyak 97% meliputi 15.11 juta kaki persegi ruang industri dan logistik, dengan tempoh pajakan purata wajaran selama 4.6 tahun.
Pengambilalihan terbaharu ini menegaskan fokus berterusan Axis-REIT dalam memperkukuh portfolio industrinya di lokasi strategik bagi menyokong pertumbuhan hasil sewaan jangka panjang. - DagangNews.com








