Axiata lantik Nik Rizal Kamil sebagai Presiden dan CEO Kumpulan baharu mulai 1 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata lantik Nik Rizal Kamil sebagai Presiden dan CEO Kumpulan baharu mulai 1 Jun 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Mei - Axiata Group Berhad melantik Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan serta Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Jun 2026.

 

Beliau akan menggantikan Vivek Sood yang melepaskan jawatan susulan persaraan selepas lebih tiga tahun menerajui syarikat itu, menurut makluman Axiata kepada Bursa Malaysia.

 

Nik Rizal, 53, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB Bank Berhad, di mana beliau mengetuai strategi kewangan, pengurusan prestasi, pengurusan modal serta penglibatan kawal selia merentasi pasaran serantau.

 

Sebelum itu, beliau turut memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan di Khazanah Nasional Berhad, termasuk sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan yang mengetuai pelaksanaan pelaburan dan pelupusan utama, strategi portfolio serta inisiatif penciptaan nilai dalam sektor telekomunikasi, media dan teknologi.

 

Beliau juga pernah menganggotai lembaga pengarah Telekom Malaysia Berhad dan Astro Malaysia Holdings Berhad.

 

Ketika ini, beliau turut menganggotai lembaga pengarah CelcomDigi Berhad.

 

Komathi memangku tugas CFO Kumpulan

Secara berasingan, Axiata turut mengumumkan Komathi Balakrishnan akan mengambil alih tugas sebagai pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan berkuat kuasa 1 Jun 2026.


 

Komathi Balakrishnan
Komathi Balakrishnan

 


Komathi, 55, memulakan kerjayanya sebagai eksekutif kewangan di Telekom Malaysia, sekali gus membina pengalaman luas dalam sektor telekomunikasi.

 

Beliau memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perakaunan dan kewangan serta pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan di pelbagai organisasi.

 

Antaranya termasuk sebagai Pengawal Kewangan Kumpulan Sapura Energy Berhad, kini dikenali sebagai Vantris Energy Berhad, dari 2015 hingga 2019 serta di Telekom Malaysia dari 2012 hingga 2014. - DagangNews.com