AWC Berhad raih kontrak RM14.6 juta daripada HDB Singapura bagi projek Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC Berhad raih kontrak RM14.6 juta daripada HDB Singapura bagi projek Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik

Gambarajah contoh operasi Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik (PWCS). (Gambar/ Laman web AWC)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Nov – AWC Bhd melalui anak syarikat tidak langsung milik penuhnya Stream Environment (S) Pte Ltd (SESG), menerima Surat Penerimaan (LoA) daripada Housing & Development Board (HDB) Singapura pada 14 November 2025 untuk kerja Reka Bentuk, Bina dan Operasi Sistem Pemindahan Sisa Pneumatik (PWCS) bagi Projek EW & FM bernilai SGD4.6 juta (kira-kira RM14.6 juta).

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden AWC, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan penguasaan pasaran kumpulan di Singapura, malah memberi keterlihatan pendapatan yang baik untuk tahun-tahun mendatang. 

 

Tambahnya, ia juga meneruskan momentum positif dalam memperoleh kontrak, selain mengekalkan kepercayaan HDB sebagai pelanggan berulang.

 

“Dengan kontrak ini, jumlah kontrak utama yang dimenangi bagi FY26 kini mencecah sekitar RM270 juta. Pada FY25, kira-kira 22% pendapatan daripada Bahagian Alam Sekitar adalah bersifat berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata prospek Bahagian Alam Sekitar kekal cerah, dipacu peluang luas di pasaran utama. AWC kini memanfaatkan kedudukan sebagai peneraju global dalam sistem kutipan sisa pneumatik automatik, disokong oleh sistem ‘shuttle’ berpatennya.

 

Industri kutipan sisa pneumatik dijangka berkembang stabil hasil peningkatan urbanisasi dan sokongan regulatori terhadap penyelesaian pengurusan sisa mampan. 

 

Menurut Fact.MR, pasaran global dijangka meningkat daripada AS$514 juta pada 2024 kepada AS$1,039.8 juta menjelang 2034, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 7.3%. 

 

Asia Timur, yang merupakan pasaran utama AWC, dijangka berkembang lebih pesat, hampir berganda daripada USD162 juta pada 2024 kepada USD361 juta pada 2034 (CAGR 8.3%).

 

Kontrak tersebut dibahagikan kepada dua fasa, masing-masing mengandungi kerja reka bentuk dan kerja pembinaan, dengan tempoh 12 bulan dan 24 bulan daripada tarikh permulaan. - DagangNews.com