KUALA LUMPUR 19 Ogos - Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar akur dengan titah Sultan Ibrahim yang menyifatkan helikopter terpakai itu sebagai ‘keranda terbang’.
Beliau berkata, rancangan untuk membeli empat buah helikopter Black Hawk terpakai bernilai RM187 juta dibatalkan susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Rancangan itu dibatalkan selepas kenyataan Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu, yang memberi amaran kepada Kementerian Pertahanan agar tidak membahayakan nyawa juruterbang tentera udara dengan “keranda terbang”.
“Kami patuh kepada titah Tuanku,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Sultan Ibrahim sebelum ini menggesa kementerian pertahanan membatalkan rancangan perolehan helikopter tersebut yang menurutnya berusia lebih 30 tahun.
Baginda selaku pemerintah tertinggi angkatan tentera menegaskan kementerian tidak boleh mengulangi kesilapan lalu, dengan merujuk kepada pembelian kontroversi 40 buah pesawat A-4PTM SkyHawk terpakai pada tahun 1980-an sedangkan perancangan asal adalah untuk memperoleh 88 jet.
Pada November lalu, kementerian pertahanan telah membatalkan perjanjian pajakan helikopter Black Hawk bernilai RM187 juta dengan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selepas syarikat itu gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran pada Oktober.
Empat helikopter tersebut, yang sepatutnya dipajak selama lima tahun, dirancang untuk digunakan sebagai platform Pasukan Udara Nukleus Tentera Darat, menyokong latihan dan juga misi penerbangan operasi.
Pada Julai 2024, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata syarikat berkenaan memberi alasan perang yang sedang berlangsung di Ukraine sebagai salah satu faktor kelewatan dalam mendapatkan helikopter itu. - DagangNews.com








