KUALA LUMPUR 6 Feb – Skim Persaraan Swasta (PRS) mencatatkan peningkatan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM8.8 bilion setakat 31 Disember 2025, didorong oleh pertambahan penyertaan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.
Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) berkata, jumlah keahlian PRS mencecah 671,736 orang pada akhir 2025, dengan sumbangan daripada golongan muda semakin menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan keseluruhan skim tersebut.
Bagi menggalakkan penyertaan awal, PPA menawarkan insentif padanan sekali sahaja berjumlah RM100 dari Februari hingga Mei 2026 kepada ahli PRS baharu berusia 30 tahun dan ke bawah.
Insentif itu terhad kepada 1,500 individu terawal yang membuka akaun PRS dan membuat sumbangan awal dalam tempoh kempen.
Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, golongan muda kini semakin terbuka kepada simpanan jangka panjang yang berstruktur, namun masih berhati-hati untuk membuat komitmen awal berikutan kebimbangan terhadap risiko kewangan dan komitmen jangka panjang.
“PRS menyediakan titik permulaan yang berstruktur dan berisiko rendah bagi individu yang baharu memulakan simpanan persaraan. Insentif ini bertujuan menggalakkan penyertaan lebih awal dan membentuk tabiat menyimpan secara konsisten,” katanya.
Setakat akhir 2025, sumbangan ahli berjumlah RM1 bilion direkodkan bagi tahun tersebut, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap rangka kerja PRS.
Prestasi dana juga menunjukkan potensi pertumbuhan jangka panjang, dengan dana PRS berprestasi tertinggi mencatatkan pulangan tahunan terkompaun sebanyak 18.2 peratus bagi tempoh tiga tahun. Purata pulangan lima dana PRS terbaik pula berada pada paras 14.4 peratus dalam tempoh sama.
Inisiatif terbaharu ini dibina berdasarkan kejayaan kempen #ISaveInPRS Treats yang berlangsung dari Ogos hingga Disember 2025. Di bawah kempen tersebut, penyumbang kali pertama serta ahli sedia ada yang membuat tambah nilai layak menyertai cabutan bertuah.
Seramai 200 pemenang menerima unit PRS bernilai RM500 setiap seorang, manakala dua pemenang hadiah utama — Mok Reei Shiuan, 27, dari Pahang dan Chong Choon Tse, 47, dari Sabah, masing-masing membawa pulang sebuah kereta atau unit pelaburan PRS bernilai RM50,000.
PPA berkata, pengukuhan penyertaan dalam kalangan golongan muda adalah penting bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan jangka panjang serta daya tahan kewangan, khususnya dalam persekitaran kos sara hidup yang semakin meningkat dan tempoh persaraan yang lebih panjang.
Maklumat lanjut mengenai kempen PRS Kickstart dan syarat kelayakan boleh didapati di sini. - DagangNews.com








