KUALA LUMPUR, 28 Okt - Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) dipertingkatkan yang ditandatangani hari ini menandakan satu fasa baharu dalam kerjasama ekonomi serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perjanjian tersebut juga melambangkan komitmen bersama ASEAN dan China untuk memperkukuh perdagangan terbuka, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta kemakmuran yang dikongsi bersama.
"Sebentar tadi, saya bersama Premier Li Qiang menyaksikan Majlis Menandatangani Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0 (ACFTA 3.0) sempena Sidang Kemuncak ASEAN–China Ke-28.
"Pemeteraian ini menandakan satu fasa baharu dalam kerjasama ekonomi serantau, melambangkan komitmen bersama ASEAN dan China untuk memperkukuh perdagangan terbuka, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta kemakmuran yang dikongsi bersama," katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz serta Menteri Perdagangan China Wang Wentao menandatangani Protokol Naik Taraf ACFTA 3.0.
Upacara berkenaan diadakan pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Majlis hari ini menandakan pencapaian penting dalam kerjasama ekonomi ASEAN-China, berasaskan lebih dua dekad hubungan kukuh dan saling menguntungkan di bawah ACFTA.
ACFTA merupakan perjanjian perdagangan bebas pertama yang dimeterai antara ASEAN dan rakan luarnya, iaitu China.
Perjanjian asal yang ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-6 pada November 2002 dan penubuhan penuh FTA ASEAN-China pada Januari 2010 telah menyediakan asas yang kukuh untuk meningkatkan hubungan ekonomi ASEAN-China.
Sementara itu, Protokol ACFTA 3.0 yang dipertingkatkan memperluas kerjasama ke bidang baharu termasuk ekonomi digital dan hijau, ketahanan rantaian bekalan, persaingan dan perlindungan pengguna, serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. - DagangNews.com








