KUALA LUMPUR 26 Okt - Hubungan ekonomi antara Asia Tenggara dan Amerika Selatan melangkah ke fasa baharu apabila Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Majlis Perniagaan Chile-ASEAN menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua rantau.
Perjanjian bersejarah itu dimeterai oleh Setiausaha Agung Konfederasi Industri Chile (SOFOFA), Rodrigo Yáñez yang mewakili Majlis Perniagaan Chile-ASEAN, bersama Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Nazir Razak. Majlis tandatangan tersebut berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ASEAN BIS) 2025.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama ini menjadi yang pertama seumpamanya antara ASEAN dengan sebuah negara Amerika Selatan, mewujudkan Majlis Perniagaan Chile-ASEAN sebagai platform utama bagi memacu hubungan perniagaan, memudahkan akses pasaran, serta memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Melalui platform ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pertukaran maklumat pasaran, penganjuran misi perniagaan, serta penganjuran forum perdagangan dan rundingan pelaburan secara bersama.
Nazir berkata, langkah tersebut menandakan satu detik penting dalam usaha ASEAN memperluas rangkaian ekonomi globalnya.
“Kerjasama dengan Chile membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan inovasi pada ketika ASEAN berusaha mempelbagaikan rakan ekonomi serantau. Chile dan ASEAN memiliki kekuatan yang saling melengkapi — sumber dan inovasi dari Chile serta tenaga dinamik dan skala pasaran ASEAN — yang berpotensi meningkatkan kedudukan kedua-dua rantau dalam rantaian nilai global,” katanya.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada lima sektor utama yang dikenal pasti mempunyai potensi sinergi tinggi, iaitu perlombongan dan sumber asli (terutamanya rantaian bekalan mineral kritikal), agribisnes dan industri makanan, tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi hijau (termasuk hidrogen hijau), teknologi dan ekonomi digital, serta infrastruktur dan logistik bagi mengoptimumkan laluan perdagangan.
Rodrigo Yáñez pula menyifatkan MoU tersebut sebagai “tonggak bersejarah” dalam hubungan ekonomi Chile-ASEAN.
“Majlis Perniagaan Chile-ASEAN akan menjadi pemangkin kepada kerjasama dalam inovasi, tenaga, mineral kritikal, makanan, logistik dan kelestarian, selain membuka ruang kepada penyertaan syarikat Chile dalam rantaian bekalan Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya lagi, penubuhan majlis itu turut sejajar dengan agenda Chile sebagai ASEAN Partner, yang akan memperkukuh penglibatan negara tersebut dalam pelbagai inisiatif ekonomi dan perniagaan serantau.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut menekankan komitmen terhadap pembangunan mampan dan peralihan hijau. MoU ini akan membuka laluan kepada kerjasama dalam projek tenaga boleh diperbaharui, khususnya dalam bidang hidrogen hijau di mana Chile mempunyai kepakaran, bagi memenuhi keperluan tenaga bersih yang semakin meningkat di ASEAN.
Kerjasama ini dijangka merangsang aliran pelaburan dua hala, memperkukuh integrasi ekonomi di bawah Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), serta mewujudkan peluang baharu bagi syarikat-syarikat dari kedua-dua rantau dalam pasaran global. - DagangNews.com








