Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, pelaburan asing berkualiti dan reformasi struktur sokong keyakinan pelabur – OCBC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, pelaburan asing berkualiti dan reformasi struktur sokong keyakinan pelabur – OCBC

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 Jan – Asas ekonomi Malaysia kekal menggalakkan, disokong oleh aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti, pertumbuhan ekonomi yang positif, lebihan dagangan yang lebih luas serta komitmen jelas kerajaan terhadap konsolidasi fiskal, menurut OCBC Research.

 

Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua Penyelidikannya, Selena Ling berkata, faktor-faktor tersebut berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur asing dan memperbaiki prospek aliran masuk modal ke Malaysia.

 

Menurutnya dalam satu kenyataan, dari sudut yang lebih asas, reformasi struktur akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada kadar 4% hingga 4.5% pada 2027-2028, didorong kemajuan berterusan pelan induk ekonomi negara.

 

“Perkembangan ini juga akan diterjemahkan kepada aliran FDI yang lebih berdaya tahan ke Malaysia. Wilayah seperti Johor akan terus mendapat manfaat daripada inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang kekal sebagai kubu utama bagi aliran pelaburan pusat data.

 

“Kami menjangkakan kerajaan akan terus berpegang teguh kepada agenda konsolidasi fiskal,” katanya.

 

Ling turut menjangkakan sokongan dasar fiskal akan kekal bersasar pada 2026, sekali gus memberi ruang kepada dasar monetari untuk lebih fleksibel.

 

Sehubungan itu, OCBC Research kekal selesa dengan jangkaannya Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama 2026 (1H26).

 

“Risiko kepada unjuran ini adalah sekiranya pertumbuhan ekonomi kekal berdaya tahan, sekali gus mengurangkan keperluan bank pusat untuk menurunkan kadar dasar pada tahun ini,” katanya.

 

Mengulas prestasi ringgit, Ling berkata, prestasi mengatasi mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat yang dicatatkan pada 2025 dijangka berterusan ke 2026, namun dengan magnitud kenaikan yang lebih sederhana.

 

Beliau menjelaskan, prestasi ringgit yang terus kukuh dalam beberapa sesi kebelakangan ini didorong oleh persekitaran luaran yang kondusif, hasil kitaran pelonggaran dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), persekitaran dolar AS yang lebih sederhana, kestabilan relatif yuan China serta sentimen risiko yang positif berikutan optimisme baharu terhadap kecerdasan buatan (AI).

 

Selain itu, katanya, mesej konstruktif daripada pembuat dasar termasuk kenyataan sebelum ini USD/MYR boleh diniagakan “sedikit di bawah paras 4” menjelang pertengahan 2026, turut menyumbang kepada sentimen positif pasaran.

 

“Perkembangan ini telah pun berlaku, dan keadaan luaran kekal menyokong. Yuan China yang lebih berdaya tahan terus menjadi penambat kestabilan ringgit, manakala Fed yang berada dalam kitaran pelonggaran dasar menyediakan latar belakang yang konstruktif,” katanya.

 

OCBC Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 3.8%, lebih rendah berbanding 4.8% pada 2025.

 

“Profil pertumbuhan KDNK kami menunjukkan kelemahan pertumbuhan yang berlaku secara beransur-ansur kepada 3.9% pada 1H26 dan 3.8% pada 2H26.

 

“Bagaimanapun, lonjakan pertumbuhan yang dipacu oleh AI dan pusat data telah mempercepatkan pertumbuhan pada 2025, dan sekiranya momentum ini berterusan tahun ini, terdapat risiko peningkatan kepada pertumbuhan,” kata Ling. - DagangNews.com