Adalah amat mengecewakan — malah ironik — apabila pelantikan Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Radzi, yang sepatutnya diraikan sebagai lambang kekuatan institusi akauntabiliti negara, kini dijadikan sasaran serangan politik.
Bukan kerana gagal menjalankan tugas, tetapi kerana berjaya melaksanakannya tanpa tunduk kepada tekanan politik atau menjadi sorak-sorai agenda tertentu.
Menuduh pelantikan beliau sebagai “tercemar” hanya kerana beliau merupakan penjawat awam aktif bukan sahaja tidak berasas dari segi undang-undang, malah tidak jujur dari segi etika.
Artikel 105 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Ketua Audit Negara dilantik oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja. Proses ini telah pun dipatuhi.
Maka, dakwaan bahawa penjawat awam secara automatik tidak boleh bersikap bebas adalah satu penghinaan kepada profesionalisme beliau dan kepada keseluruhan perkhidmatan awam negara.
Kononnya hanya pesara layak dianggap bebas?
Sejak bila umur persaraan menjadi piawaian objektiviti?
Apakah kebebasan diukur melalui ‘tidak berkhidmat’, atau keberanian untuk berkhidmat tanpa takut atau pilih kasih?
Wan Suraya membawa bersama pengalaman 29 tahun dalam perkhidmatan awam, pemahaman mendalam tentang sistem pentadbiran negara, dan rekod bersih tanpa sebarang kontroversi.
Bukankah ini menjadikan beliau lebih layak untuk mengaudit kerajaan dengan kefahaman yang teliti, berbanding individu luar yang tidak pun memahami mekanisme pentadbiran?

Terhakis
Sebagai pengamal komunikasi, saya melihat isu ini sebagai cerminan cabaran lebih besar: hakisan etika dan integriti dalam wacana awam.
Komunikasi bukan sekadar menyuarakan pandangan — ia adalah proses mendidik masyarakat dengan konteks, ketepatan, dan hormat kepada institusi.
Apabila naratif dimanipulasi demi keuntungan politik, kita bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga menjejaskan kepercayaan terhadap proses demokrasi.
Komunikasi beretika dalam perkhidmatan awam mesti dipertahan — bukan diserang — jika kita benar-benar ingin membina keyakinan nasional.
Dan mengenai dakwaan bahawa Jabatan Audit Negara “bersorak” untuk Madani —kita harus bersikap waras. Jika kehadiran ke program rasmi atau perkongsian poster di Facebook dianggap sebagai propaganda, maka lebih baik kita tamatkan semua acara rasmi kerajaan sejak Merdeka.
Kalau ikut logik ini, menekan tab ‘like’ hantaran keselamatan tempat kerja pun boleh dianggap konflik apabila ditugaskan mengaudit tapak pembinaan.
Yang jelas, Ketua Audit Negara bukan individu yang harus menyepi di gua sehingga dipanggil. Peranannya adalah untuk terlibat secara aktif dalam tadbir urus, berkomunikasi secara telus dan membina kepercayaan rakyat.

Kecaman terhadap beliau tentang satu hantaran media sosial, atau terhadap pengecualian konflik kepentingan yang sah dari segi prosedur dan yang pernah diamalkan dalam konteks tertentu sebelum ini, lebih menyerupai sandiwara politik daripada isu Perlembagaan.
Daripada menghargai usaha Jabatan Audit Negara yang terus menghasilkan laporan berkualiti dan tepat pada masanya, sesetengah pihak lebih gemar menembak pembawa mesej — hanya kerana mesejnya tidak menyenangkan.
Kepada para pengkritik: jika benar perjuangan mereka berlandaskan ketelusan, tampilkan hujah berfakta, bukan andaian bersulam sindiran dan ‘double standard’.
Jangan bangkitkan dan persoalkan integriti sekiranya hakikat hanyalah permainan politik. Malaysia tidak memerlukan Ketua Audit Negara yang mengikut telunjuk politik.
Malaysia perlukan seorang yang berani, berwibawa, beretika dan yang sah dilantik mengikut proses Perlembagaan. Saya yakin, kita telah pun ada yang Ketua Audit yang memenuhi kriteria ini. - DagangNews.com








