KUALA LUMPUR 15 Okt - Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pembangkang yang disifatkannya 'tidak membaca' apabila menuduh kerajaan melakukan perbelanjaan berlebihan dengan meluluskan peruntukan RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara.
Menurut Perdana Menteri, bangunan bersejarah itu bukan sekadar peninggalan era silam, sebaliknya simbol
warisan Raja-Raja Melayu serta perjalanan negara menuju kemerdekaan.
“Isu Carcosa ini dibangkitkan...masalahnya, kadang-kadang pembangkang tidak membaca. Ini (Carcosa) ialah warisan. Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang mempunyai peranan tersendiri.
“Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai sebuah kota moden dari segi teknologi dan segar budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya.
"Jadi RM600 juta itu bukan wang kebajikan tetapi pelaburan termasuk untuk menjaga kepentingan sejarah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan bagi bulan Oktober di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Peruntukan RM600 juta termasuk untuk pemulihan enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, bukan hanya Carcosa Seri Negara - Khazanah
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, Anwar memberitahu Khazanah memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, pula mempersoalkan keputusan kerajaan itu.
Hamzah menyifatkan langkah tersebut sebagai satu “penyimpangan” daripada tujuan dan peranan sebenar Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), yang sepatutnya memperkukuh daya tahan ekonomi dan menjana pulangan jangka panjang untuk rakyat.
Khazanah pula dalam penjelasanya memberitahu peruntukan RM600 juta termasuk membaik pulih enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad termasuk Carcosa Seri Negara.
Anwar berkata, dalam projek melibatkan pelaburan besar seperti ini, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang utama seperti Khazanah atau Petronas akan membantu melakukannya.
"Kerajaan ada keutamaan lain, tetapi kita pantau, masih ada elemen pelaburannya, komersialnya dan elemen keindahan bagi kota," ujarnya sambil menambah kepimpinan GLIC mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan segala projek kerajaan kepada rakyat. - DagangNews.com








