KUALA LUMPUR 24 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus berusaha tanpa jemu memulihkan kewangan negara walaupun berdepan pelbagai kecaman, kata Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Abaidah.
Dalam taklimat harian hari ini, Tunku Nashrul menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Perdana Menteri dalam memperbaiki kesihatan fiskal negara, susulan pendedahan baharu bahawa Malaysia mengalami kerugian mencecah AS$18 bilion (sekitar RM85 bilion) akibat skandal 1MDB.
"Angka ini, yang baru-baru ini didedahkan oleh wartawan penyiasat Bradley Hope dan Tom Wright dalam satu podcast, jauh melebihi anggaran sebelum ini dan mencerminkan skala salah urus kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran lalu," katanya.
Beliau menambah, pendedahan itu membuktikan kerosakan besar yang diwarisi oleh kerajaan semasa.
Tunku Nashrul berkata sejak memegang tampuk pemerintahan pada akhir 2022, Perdana Menteri tidak pernah berhenti berusaha memulihkan kedudukan kewangan negara demi kepentingan rakyat.
“Hanya melalui disiplin fiskal yang berterusan dan pemulihan ekonomi secara berperingkat, kerajaan dapat mula menyalurkan semula sumber dan bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini,” jelasnya.
Perdana Menteri juga menyatakan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran mereka sepanjang tempoh mencabar ini.
“Walaupun saban hari menerima penghinaan, ejekan dan serangan peribadi di media sosial oleh pihak tertentu termasuk Ketua Pembangkang, Perdana Menteri kekal fokus dan tidak goyah,” ujar beliau.
Tunku Nashrul turut menegaskan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan akauntabiliti, sambil memaklumkan bahawa Anwar tidak teragak-agak mengakui kelemahan termasuk kelewatan menunaikan beberapa janji awalnya.
“Perdana Menteri telah pun memohon maaf secara terbuka atas sebarang kelewatan dalam menunaikan janji-janji beliau, dan terus merayu agar rakyat memahami proses reformasi yang sedang berlangsung,” katanya. - DagangNews.com








