Anwar bertemu CEO Nvidea bincang pembangunan kecerdasan buatan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anwar bertemu CEO Nvidea bincang pembangunan kecerdasan buatan di Malaysia

JENSEN HUANG / Gambar AFP

KUALA LUMPUR 31 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, bagi membincangkan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan bermula pada hari Jumaat.

 

Huang, yang dijangka tiba di Gyeongju pada pagi Jumaat, akan bertemu Anwar bersama Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.

 

Kedua-dua Huang dan Yeoh dijangka memberi maklumat terkini kepada perdana menteri mengenai perkembangan projek infrastruktur AI bernilai RM10 bilion di Malaysia yang telah dimeterai antara kedua-dua syarikat pada bulan Julai lalu.

 

Terdahulu pada pagi hari, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, akan menyambut semua pemimpin ekonomi APEC termasuk Anwar, diikuti sesi bergambar antara kedua-dua pemimpin tersebut.

 

Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan intervensi Malaysia semasa APEC Economic Leaders’ Dialogue with Guests, dengan tumpuan kepada kepentingan keterangkuman dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital, dan kerjasama serantau ke arah pembangunan mampan.

 

Selepas makan tengah hari, beliau akan mengadakan pertemuan dengan US APEC Business Coalition, diikuti pertemuan bersemuka dengan Namhae Chemical Corp dan JS Link.

 

Namhae Chemical merupakan salah satu pengeluar baja terbesar di Korea Selatan, menghasilkan lebih daripada 50% baja pertanian negara itu. JS Link pula ialah syarikat bioteknologi berasaskan genom yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan perkhidmatan analisis genom di Korea Selatan dan di peringkat antarabangsa.

 

Anwar kemudiannya akan menghadiri majlis makan malam Pemimpin Ekonomi APEC sebelum menutup jadual harinya dengan sidang media khas.

 

Malaysia merupakan antara 12 negara pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

 

Ketika ini, APEC merangkumi 21 ekonomi yang menempatkan hampir tiga bilion penduduk dunia. Pada tahun 2021, kumpulan ini menyumbang 62% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 48% daripada perdagangan global. - BERNAMA