Anwar, Abg Jo komited segera cari penyelesaian muktamad isu Petronas di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anwar, Abg Jo komited segera cari penyelesaian muktamad isu Petronas di Sarawak

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bercakap dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg pada Sabtu mengenai urusan Petronas-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini.

 

"Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya," kata beliau dalam kenyataan di laman rasmi media sosialnya hari ini.

 

"Sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

 

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah," kata Perdana Menteri.

 

Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari berkata beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mencapai komitmen bersama untuk mencari penyelesaian berhubung isu tersebut.

 

Abang Johari yang kini berada di London berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada perdana menteri semalam.

 

Katanya, penyelesaian isu itu adalah berteraskan pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak yang dilakukan secara harmoni dan adil.

 

“Dalam isu minyak dan gas ini, (memang) adalah kita bermain ‘bola’ sikit-sikit dengan Petronas dan ketika ini, saya pasti anda sudah mengikuti perkembangan semasa berkaitan isu ini.

 

“Namun, kita akan menyelesaikan perkara ini, malah PM sudah menghubungi saya pagi tadi (Sabtu waktu London) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) hari ini.

 

Abg Johari berkata, penyelesaian itu akan diasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil.

 

Beliau mendedahkan perkara itu pada sesi ‘Townhall Agenda Sarawak’ sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, Edisi United Kingdom (UK), di London semalam.

 

Kira-kira 230 pelajar di UK, Jerman dan Perancis menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 Edisi UK itu yang turut dihadiri pemimpin kanan kerajaan Sarawak termasuk dua Timbalan Premier Awang Tengah Ali Hasan dan Sim Kui Hian.

 

Kelmarin, Petronas mengakui menerima notis undang-undang daripada kerajaan Sarawak memaklumkan anak syarikatnya, Petronas Carigali, beroperasi secara haram di Sarawak dan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.

 

Petronas Carigali diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen diperlukan yang mana jika gagal boleh membawa kepada penalti kewangan bawah Seksyen 21A ordinan itu.

 

Isnin lalu, ia gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghentikan saman difailkan syarikat petroleum Sarawak, Petros untuk menghalang mahkamah daripada mendengar saman berkenaan pembayaran gas. - DagangNews.com