KUALA LUMPUR 23 Sept - Setiap hari, pengguna lebuh raya di Malaysia berdepan dengan rutin yang memenatkan — barisan panjang di plaza tol, masa terbuang menunggu palang terbuka, dan bahan api yang terbakar sia-sia.
Beban ini bukan sahaja menambah kos, tetapi juga meningkatkan tekanan dan menjejaskan produktiviti rakyat.
“Kita perlu hentikan pengalaman menyakitkan di plaza tol. Teknologi ANPR mampu mengubah cara rakyat bergerak di lebuh raya, menjadikan perjalanan lebih lancar, cekap dan tanpa henti,” kata Pengasas & CEO MYMobility Vision, Wan Md Hazlin Agyl.

PLUS Malaysia Berhad akan melaksanakan projek rintis teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) di 13 plaza tol melibatkan 35 lorong, satu langkah yang dilihat mampu mengurangkan kesesakan dan menjadi asas kepada sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) tanpa palang di masa depan.
“Pada asasnya, ANPR mudah sahaja. Kamera mengimbas nombor plat kenderaan, mengesahkan bayaran secara serta-merta, dan perjalanan boleh diteruskan tanpa henti,” katanya kepada DagangNews.com.
Menurut sumber industri, sebagai sokongan kepada projek ini, PLUS akan memperkenalkan aplikasi mudah alih JustGO untuk pendaftaran kenderaan dan butiran pembayaran.
Pengarah Urusan MDS Consultancy, Rosli Azad Khan turut menyokong projek tersebut, dengan menyatakan ia akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api untuk pengguna jalan raya serta menurunkan kos operasi bagi pengendali tol.
Namun, beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan sistem ANPR dilaksanakan dan berfungsi dengan berkesan terlebih dahulu sebelum bergerak ke arah MLFF.
Beliau berkata langkah ini akan membolehkan pihak berkuasa menyelesaikan sebarang kelemahan dalam sistem, namun menekankan aspek operasinya harus kekal di bawah bidang kuasa kerajaan.
“Kerajaan tidak boleh menyerahkan fungsi ANPR kepada pihak swasta, kerana hanya jabatan kerajaan mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan sistem ini,” jelasnya.
Aplikasi tersebut dibangunkan secara dalaman oleh pakar tempatan tanpa pembiayaan kerajaan, serta menyokong ciri digital seperti penjanaan e-invois dan semakan rekod transaksi. Tiada caj dikenakan untuk pendaftaran, manakala sistem direka serasi dengan pelbagai mod pembayaran tanpa tunai.
“Kaedah pembayaran juga akan menjadi lebih fleksibel, dengan aplikasi pada masa depan dijangka mengintegrasikan e-dompet dan sistem lain, memberi lebih banyak pilihan berbanding pilihan terhad yang ada sekarang,” jelas Wan Agyl.
Beliau menegaskan manfaat utama ANPR ialah ia tidak memerlukan pemasangan peranti tambahan seperti tag RFID, sebaliknya hanya menggunakan nombor plat sedia ada.
Menghentikan Orang Elak Bayar Tol
Wan Agyl menegaskan, penggunaan ANPR juga akan membantu menangani isu pengelakan bayaran tol apabila sistem MLFF dilaksanakan sepenuhnya kelak.
“Mana-mana kenderaan yang gagal membayar tol di lorong MLFF pasti dapat dikesan, kerana nombor plat akan ditangkap ketika melalui gantry. Mereka yang tidak membayar akan dikenal pasti dan dikeluarkan notis. Mungkin pada masa depan, kaedah penguatkuasaan tertentu boleh diperkenalkan, seperti [melarang pembaharuan] cukai jalan,” katanya.
ANPR bukanlah teknologi baharu. Singapura telah menggunakannya dalam sistem Electronic Road Pricing (ERP), manakala London memanfaatkan ANPR untuk caj kesesakan. Australia, India dan Kesatuan Eropah turut membuktikan keberkesanan teknologi ini pada skala besar.

Malah, ANPR terbukti mampu memproses kutipan tol sehingga empat kali lebih pantas berbanding RFID, yang sama seperti SmartTAG masih memerlukan kenderaan memperlahankan kelajuan di lorong tol.
Menurut Wan Agyl, pelaksanaan teliti oleh PLUS akan memastikan keberkesanan sistem di Malaysia. “Apabila dilaksanakan dengan betul, ANPR berfungsi dengan baik dan memberi manfaat nyata kepada pemandu,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa faktor kepercayaan awam tidak boleh dipandang ringan.
“Plat mungkin kotor, fon mungkin berbeza, dan kesilapan boleh berlaku. PLUS perlu menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang telus agar pengguna yakin mereka boleh membuat rayuan dengan adil,” jelasnya.
Selain itu, ANPR juga mengumpul data peribadi. “Rakyat mahu jawapan jelas: berapa lama data disimpan, siapa yang boleh mengakses, dan bagaimana ia dilindungi. Dasar yang telus dan kawalan akses ketat amat penting,” tambahnya.
Wan Agyl turut menekankan bahawa warga emas tidak boleh diketepikan dalam proses peralihan teknologi ini.
“Bagi ramai warga emas, memuat turun aplikasi atau menggunakan e-dompet agak mencabar. Pihak konsesi mesti menyediakan sokongan – daripada kaunter fizikal hingga talian bantuan – supaya tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya.
Penguatkuasaan
Sokongan rapat dan kerjasama dengan pihak kerajaan amat diperlukan dari segi penguatkuasaan. Walaupun PLUS berhasrat membantu menangani isu plat palsu atau disalin, perkara ini berada di luar skop syarikat konsesi dan sepenuhnya terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Matlamat jangka panjang adalah sistem tanpa palang sepenuhnya di plaza tol Malaysia.
“ANPR bukan noktah, tetapi langkah penting yang membawa kita lebih hampir kepada realiti MLFF. Setiap minit yang terbuang di plaza tol adalah masa hilang bersama keluarga atau di tempat kerja.
“Jika inisiatif ini boleh memberi perjalanan lebih lancar dan bebas tekanan, ia wajar mendapat sokongan,” tegas Wan Agyl. - DagangNews.com








