KUALA LUMPUR 21 Jan - Ancom Logistics Berhad mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM292,000 bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 November 2025.
Menurut kumpulan itu, prestasi ini merosot berbanding keuntungan bersih RM27,000 yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya, berpunca daripada penurunan hasil pada tiga bulan tersebut.
Selain itu tambahnya, peningkatan kos pembiayaan yang mencecah RM850,000 bagi suku tersebut turut menjejaskan prestasi keseluruhan syarikat, walaupun mencatatkan pendapatan sebanyak RM8.2 juta.
"Hasil 2QFY26 menunjukkan peningkatan kecil berbanding RM8.1 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, namun Ancom Logistics kerugian sebelum cukai iaitu RM189,000," katanya kepada Bursa Malaysia.
Situasi tersebut berbeza daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM423,000 pada tahun sebelumnya, dan selain kos pembiayaan tinggi, kadar cukai efektif syarikat itu juga didapati lebih besar.
Paras berkenaan jelas kumpulan itu, adalah meningkat berbanding kadar statutori yang disebabkan oleh pelbagai perbelanjaan tertentu, namun masih tidak boleh ditolak untuk tujuan percukaian.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 November 2025, Ancom Logistics secara keseluruhan mengekalkan keuntungan bersih RM287,000, meskipun susut daripada RM641,000 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Pendapatan bagi tempoh enam bulan tersebut meningkat kepada RM17.4 juta berbanding RM16.7 juta pada tahun sebelumnya, didorong peningkatan jualan dalam perniagaan ladang tangka," katanya.
Segmen logistik kekal menjadi penyumbang utama dengan hasil RM17.4 juta bagi tempoh enam bulan, manakala segmen pegangan pelaburan mencatatkan kerugian RM1.2 juta susulan perbelanjaan korporat.
Pihak pengurusan Ancom Logistics menyatakan komitmen untuk terus berwaspada terhadap persekitaran operasi yang mencabar, termasuk risiko ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar.
Bagaimanapun, ia optimis usaha pengenalan kemudahan tangki baharu dijangka membolehkan kumpulan itu mampu menawarkan volum yang lebih besar dan harga kompetitif kepada ramai pelanggan berpotensi.
"Syarikat juga memaklumkan mengenai cadangan korporat yang masih berjalan, termasuk pengambilalihan keseluruhan modal saham Green Lagoon Technology Sdn Bhd pada nilai RM120 juta," jelasnya lagi.
Tempoh bagi cadangan perolehan tersebut tambah Ancom Logistics, sudah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026 melalui perjanjian tambahan kedua yang ditandatangani pada 22 Oktober 2025.
Setakat ini, kumpulan berkenaan tidak mengisytiharkan sebarang pembayaran dividen kepada semua pemegang sahamnya bagi tempoh suku kewangan yang dilaporkan. - DagangNews.com








