AMS catat hasil RM34.9 juta bagi Q1FYE2026, pencapaian baik menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 23 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AMS catat hasil RM34.9 juta bagi Q1FYE2026, pencapaian baik menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 23 April 2026

Pelancaran prospektus AMS Advanced Material Berhad pada 27 Mac 2026. - Gambar fail
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 April - AMS Advanced Material Berhad (AMS) mencatatkan hasil sebanyak RM34.9 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (Q1FYE2026), disokong oleh prestasi kukuh dalam segmen semikonduktor dan sokongan kejuruteraan.

 

AMS, pakar aluminium yang terlibat dalam bekalan dan pemprosesan pelbagai jenis bahan aluminium dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 April ini, dengan modal pasaran sebanyak RM177.5 juta berdasarkan harga IPO RM0.29 sesaham dan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 612.0 juta saham.

 

Bagi suku yang dikaji, segmen semikonduktor dan sokongan kejuruteraan menjadi penyumbang utama dengan 45.6%, diikuti segmen aeroangkasa sebanyak 20.1%.

 

Kumpulan turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.6 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.8 juta, menurut kenyataan media syarikat itu di sini hari ini.

 

Dari segi geografi, Malaysia kekal sebagai pasaran utama dengan sumbangan 79.1%, diikuti Thailand sebanyak 20.1%, manakala Singapura dan Vietnam masing-masing menyumbang 0.1% dan 0.7%.

 

Syarikat mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan nisbah semasa 1.9 kali dan nisbah gearing bersih pada 0.2 kali, mencerminkan kecairan sihat serta tahap hutang yang rendah.

 

Selepas penyenaraian, AMS dijangka berada dalam kedudukan tunai bersih.

 

Pengarah Urusan AMS, Keh Teng Yang berkata prestasi suku pertama itu mencerminkan asas perniagaan yang kukuh, disokong oleh pemulihan permintaan dalam sektor semikonduktor dan sokongan kejuruteraan.

 

Beliau berkata momentum pertumbuhan dijangka berterusan, manakala hasil IPO akan digunakan bagi memperkukuh rancangan pengembangan syarikat.

 

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com