KUALA LUMPUR 26 Sept – Amerika Syarikat telah bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian pengecualian tarif – khususnya kadar tarif sifar – terhadap beberapa produk komoditi yang tidak dihasilkan di AS, termasuk minyak sawit dan koko, yang dijangka dimuktamadkan bulan depan.
Ketua perunding bagi rundingan tarif rasmi, Mastura Ahmad Mustafa berkata selain komoditi, Malaysia turut memohon kadar tarif sifar bagi perabot, serta alat ganti dan komponen automotif serta aeroangkasa.
Mastura, yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berkata pihak AS telah menyampaikan perkara tersebut dalam beberapa sesi rundingan terdahulu.
“Seperti yang dinyatakan, kita kini sedang dalam proses memperincikan perjanjian mengenai tarif timbal balik. Bermula semalam, kita telah mengatur beberapa sesi maya dengan AS untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.
“Dalam rundingan ini, pihak AS menunjukkan keterbukaan untuk mempertimbangkan beberapa barangan yang pada pandangan mereka tidak dapat dihasilkan di dalam negara mereka sendiri.
“Bagi produk sebegini, mereka akan menimbang untuk memberi pengecualian dalam bentuk tarif sifar di bawah pengaturan tarif unilateral ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sini hari ini.
Namun begitu, Mastura menjelaskan bahawa perjanjian yang dijangka dimuktamadkan bulan depan itu tidak merangkumi sektor semikonduktor dan farmaseutikal, yang tertakluk di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 Amerika Syarikat. Di bawah akta tersebut, Amerika Syarikat dibenarkan mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara.
Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump, melalui akaun Truth Social beliau, mengumumkan Amerika Syarikat akan mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas mana-mana produk farmaseutikal berjenama atau berpatent, kecuali syarikat yang membina kilang pembuatan farmaseutikal di Amerika.
Selain itu, Washington juga akan mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua kabinet dapur, almari bilik mandi serta produk berkaitan, manakala 30 peratus tarif ke atas perabot berlapis fabrik.
AS juga menyatakan ia akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua “lori berat atau besar” yang dihasilkan di negara lain. Tarif tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Okt 2025.
“Jika kita lihat kepada syarat yang dikenakan oleh Presiden Trump, syarikat yang melabur di AS akan dikecualikan daripada duti di bawah Seksyen 232. Namun pada masa yang sama, kita juga sedang berusaha merunding sama ada Malaysia boleh dipertimbangkan untuk sebarang pengecualian daripada tarif tersebut,” kata Mastura.
Semalam, Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan timbal balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum lawatan Trump pada Oktober bagi Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan. – Bernama








