KUALA LUMPUR 9 Jun – AMMB Holdings Berhad (AMMB) membeli bangunan ibu pejabatnya sendiri, Menara AmBank serta segala aset berkaitan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada harga RM331 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan itu berkata, langkah tersebut mengukuhkan kedudukan operasi jangka panjang dan mengurangkan pendedahan kepada peningkatan kos sewaan tinggi.
Anak syarikatnya, AmBank (M) Berhad memeterai perjanjian pembelian dengan Maybank Trustees Berhad sebagai pemegang amanah pemilik bangunan itu, AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT).
"Menara AmBank merupakan bangunan pejabat pegangan bebas setinggi 46 tingkat dengan keluasan boleh disewa bersih sebanyak 42,124 meter persegi dan kadar penghunian 77.8%," kata kenyataan AMMB.
Bank tersebut merupakan penyewa utama bangunan itu dan menguasai 65.6% daripada keseluruhan ruang pejabat tersedia, dengan proses pengambilalihan dijangka selesai menjelang suku keempat tahun 2026.
Menurutnya, pemilikan itu membolehkan kumpulan menjamin penggunaan ruang pejabat secara jangka panjang selain berpotensi mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan kadar penyewaan premis.

Pemilikan berkenaan membolehkan AMMB memperoleh kepastian dari segi tempoh penggunaan pejabat dan mengurangkan risiko kenaikan kos serta perbelanjaan berkaitan penggunaan bangunan pada masa depan.
"Sebagai sebahagian daripada urus niaga ini, AmBank turut mengambil alih penyewaan dan lesen sedia ada yang melibatkan 12.2% daripada keluasan boleh disewa bersih bangunan berkenaan," jelasnya.
Sementara baki ruang kosong yang masih tersedia pula ujarnya, dijangka memberi fleksibiliti kepada kumpulan tersebut untuk tujuan pengembangan atau usaha penyatuan operasi pada masa akan datang.
Harga pembelian RM331 juta itu tambah AMMB, ditetapkan berdasarkan kepada persetujuan antara penjual dan pembeli serta mengambil kira faktor penilaian pasaran semasa sebanyak RM333 juta.
Bagaimanapun katanya, urus niaga tersebut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan susulan hubungan pemilikan yang melibatkan AmBank dan pengurus AmFIRST REIT sendiri.
Pembelian itu dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman dan tidak dijangka memberi kesan material terhadap hasil, aset bersih atau tahap hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.
Setakat akhir Mac 2026, kumpulan berkenaan mempunyai kedudukan tunai dan dana jangka pendek yang berjumlah RM6.82 bilion. - DagangNews.com








