Aliran tunai perniagaan terjejas akibat kelewatan pengembalian cukai, ACCCIM gesa LHDN percepatkan proses | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran tunai perniagaan terjejas akibat kelewatan pengembalian cukai, ACCCIM gesa LHDN percepatkan proses

Gambar BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan – Pemilik perniagaan di Malaysia menghadapi masalah aliran tunai ekoran kelewatan yang berlaku dalam proses pengembalian cukai yang dibayar berlebihan dengan sebahagian daripada mereka terpaksa menunggu lebih dua tahun untuk mendapatkan bayaran tersebut.

 

Berdasarkan tinjauan terbaharu yang dilakukan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), hampir 23 peratus responden melaporkan tempoh menunggu melebihi 24 bulan, manakala 21 peratus menunggu antara 13 hingga 24 bulan dan 22 peratus mengalami kelewatan antara 7 hingga 12 bulan. Lebih 76 peratus pemilik perniagaan berpendapat pengembalian cukai sepatutnya diselesaikan dalam tempoh hanya tiga bulan.

 

Tinjauan ini melibatkan 817 perniagaan antara Disember 2025 hingga Januari 2026,

 

Justeru, Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng mencadangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya mencontohi amalan negara jiran dalam usaha memodenkan proses pengembalian cukai di Malaysia. 

 

Antara cadangan ACCCIM termasuk menetapkan tempoh pengembalian yang lebih pendek, bayaran faedah automatik untuk kelewatan dan sistem anggaran yang lebih fleksibel bagi mengelakkan pembayaran berlebihan.

 

Dalam pada itu, Ng turut memuji dasar fiskal kerajaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk pengurangan kadar cukai perkhidmatan kepada 6 peratus bagi sewaan, pengecualian cukai yang lebih tinggi bagi perkhidmatan sewaan, serta tempoh peralihan satu tahun tanpa penalti untuk pelaksanaan e-invois bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

 

ACCCIM juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas jaminan peribadi beliau untuk mempercepatkan proses pengembalian cukai.

 

Ng berkata langkah kerajaan baru-baru ini memberi kelegaan kepada aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana, membolehkan mereka mengurus operasi harian, melunaskan hutang, atau membuat pelaburan untuk pertumbuhan.

 

Bagaimanapun, perniagaan masih bimbang tentang kenaikan kos operasi dan persaingan daripada pemain asing di pasaran tempatan, terutamanya dengan ketidakpastian geopolitik yang berterusan.

 

ACCCIM berkata majoriti responden kekal optimis tetapi berhati-hati mengenai prospek ekonomi dan persekitaran perniagaan bagi 2026.

 

Sementara itu, dalam tinjauan  Kaji Selidik Persekitaran Ekonomi dan Perniagaan Malaysia (M-BECS) bagi separuh pertama 2026 mendapati, perniagaan menunjukkan sentimen positif tetapi berhati-hati, walaupun wujud kebimbangan mengenai aliran tunai akibat kelewatan cukai. 

 

Sentimen ini dipacu oleh dasar fiskal yang menyokong, kadar faedah rendah, dan pengurangan ketidakpastian tarif global. - DagangNews.com