Akaun dibeku sejak Oktober, MMAG akui tangguh pengumuman kerana tidak jejaskan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akaun dibeku sejak Oktober, MMAG akui tangguh pengumuman kerana tidak jejaskan operasi

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Mac - Syarikat pengurusan rantaian bekalan bersepadu, MMAG Holdings Bhd menjelaskan bahawa pihaknya menangguhkan pengumuman berhubung pembekuan beberapa akaun bank syarikat itu sejak Oktober tahun lalu kerana ia tidak memberi kesan kepada operasinya ketika itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata operasi kumpulan terus berjalan lancar dengan menggunakan akaun bank yang tidak terjejas bagi memenuhi keperluan.

 

 

 

 

 

 

Syarikat turut memaklumkan, sebaik menyedari pembekuan tersebut, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa, namun tidak menerima sebarang maklumat.

 

“Susulan tiada maklumat diperoleh, dan berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa tersebut, syarikat menilai perkara ini tidak memberi impak material kepada operasi kumpulan, justeru tidak membuat pengumuman segera,” katanya.

 

Pendedahan dibuat selepas laporan media

MMAG berkata, pendedahan awam pertama mengenai pembekuan itu dibuat pada 10 Mac selepas laporan media memetik kenyataan Pengerusi Eksekutif dan CEO Kumpulan NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin, yang mendedahkan akaun bank MMAG dan NexG Bina Bhd telah dibekukan.

 

NexG merupakan pemegang saham besar dalam kedua-dua syarikat berkenaan dengan pegangan sebanyak 9.525% dalam MMAG dan 32.61% dalam NexG Bina.

 

“Berikutan laporan tersebut, syarikat merasakan perlu untuk membuat pengumuman bagi memberikan penjelasan kepada pelabur,” katanya.

 

Menurut MMAG, walaupun tiada kesan material setakat ini, syarikat mengakui sekiranya sekatan berterusan dalam tempoh panjang, ia berpotensi menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan serta persekitaran perniagaan kumpulan.

 

Syarikat itu berkata, pihaknya kini masih belum dapat menentukan impak kewangan keseluruhan daripada pembekuan akaun terbabit kerana akaun tersebut masih tertakluk kepada sekatan dan tiada maklumat lanjut diberikan oleh pihak berkuasa.

 

“Kumpulan sedang giat menangani perkara ini dan kekal komited untuk memastikan kestabilan operasinya terpelihara,” katanya.

 

NexG Bina beri amaran risiko kelewatan projek

MMAG dan NexG Bina sebelum ini mengumumkan beberapa akaun bank mereka telah dibekukan sejak November 2025 berkaitan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

 

NexG Bina, yang sebelum ini dikenali sebagai Classita Holdings Bhd, memaklumkan sebanyak 16 akaun banknya di RHB Bank telah dibekukan sejak pertengahan November 2025. Lembaga pengarah hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada Februari lalu, namun operasi pada peringkat awal tidak terjejas.

 

Syarikat itu memberi amaran, pembekuan tersebut berpotensi melambatkan projek serta mencetuskan tindakan undang-undang sekiranya gagal memenuhi obligasi pembayaran.

 

NexG Bina kini mendapatkan nasihat guaman serta penjelasan daripada pihak berkuasa, sambil menegaskan lembaga pengarah tidak mengetahui sebarang salah laku.

 

 

Victor Chin Boon Long
Victor Chin Boon Long

 

Mafia Korporat

Pada Isnin lalu, pemain pasaran yang dikaitkan dengan NexG, NexG Bina, MMAG dan Revenue Group Bhd, Victor Chin Boon Long, mendakwa lebih 500 akaun dagangan saham dan akaun bank dipercayai telah dibekukan berkaitan siasatan terhadap dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang bersekongkol untuk mengambil alih syarikat tersenarai awam.

 

NexG memperoleh pegangan 9.53% dalam MMAG daripada isteri Chin, Chan Swee Ying, pada Mac tahun lalu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Syarikat itu turut memperoleh pegangan 32.61% berserta waran dalam NexG Bina, yang ketika itu dikenali sebagai Classita Holdings, daripada Hong Seng Consolidated Bhd. Hong Seng sebelum itu memperoleh sebahagian pegangan dalam Classita daripada Chan.

 

Saham MMAG dibuka pada 3 sen atau susut −0.0050 (14.29%) pada Rabu, dengan nilai pasaran sekitar RM81.24 juta. - DagangNews.com