KUALA LUMPUR 26 Mei - AIROD Sdn Bhd menegaskan komitmen kerjasama jangka panjangnya bersama Lockheed Martin Corporation dalam satu majlis yang diadakan di fasiliti Subang, sempena 40 tahun kerjasama bermula dengan khidmat sokongan operasi pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pencapaian itu menandakan empat dekad kerjasama antara AIROD sebagai penyedia penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) ketenteraan terkemuka Malaysia serta anak syarikat National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan Lockheed Martin, pengeluar peralatan asal (OEM) bagi pesawat C-130 Hercules, dalam memastikan kesiapsiagaan operasi global, kebolehpercayaan serta sokongan jangka panjang terhadap platform berkenaan.
Ditubuhkan pada tahun 1976, AIROD merupakan fasiliti penyelenggaraan tahap depot pertama di Malaysia yang khusus menyokong armada C-130 Hercules TUDM.
Sejak penubuhannya, syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan rangka pesawat, enjin, avionik, struktur, naik taraf serta kejuruteraan, dengan kerja MRO melibatkan lebih 150 pesawat C-130 TUDM dalam tempoh lima dekad.
Pada tahun 1984, AIROD dikorporatkan melalui usaha sama antara Aerospace Industries Malaysia (kini National Aerospace & Defence Industries – NADI) dan Lockheed Aircraft Systems International (LASI), sebelum menjadi Pusat Perkhidmatan Hercules Bertauliah Lockheed Martin pada tahun 1986. Syarikat itu kemudiannya menjadi milik penuh Malaysia pada tahun 1995.
Kini, AIROD merupakan antara pusat perkhidmatan Hercules paling diiktiraf di peringkat global, dengan keupayaan meliputi penyelenggaraan tahap depot, baik pulih gear pendaratan, pembaikan struktur, penukaran fuselage stretch serta penukaran pesawat kepada konfigurasi tanker, yang menyokong operator ketenteraan dan komersial di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.

Kerjasama Lockheed Martin Perkukuh Kedudukan Global MRO AIROD
Ketua Pegawai Eksekutif AIROD, Mejar Jeneral Dato Ir. Ibrahim Bahari berkata, kerjasama dengan Lockheed Martin telah dibina melalui empat dekad perkongsian ilmu dan kerjasama teknikal, yang telah memperkukuh keupayaan MRO global syarikat itu.
Pengarah dan Pengurus Program, Air Mobility and Maritime Missions International Sustainment Programs Lockheed Martin, Mark Jarvis berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kesiapsiagaan operasi armada C-130 di peringkat global serta memperkukuh sokongan jangka panjang.
AIROD telah memperluaskan kehadiran antarabangsanya dengan menyokong Tentera Udara Diraja Thailand pada 2011 susulan kejadian banjir di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok, serta melaksanakan program besar Tentera Udara Indonesia pada 2015 melibatkan pemulihan dan naik taraf lima pesawat C-130.
Antara 1990 hingga 2005, AIROD turut menyokong lebih 120 pesawat C-130H Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) melalui penyelenggaraan depot berjadual, pemeriksaan dan pembaikan struktur.
Dari 2015 hingga 2019 pula, syarikat itu melaksanakan program penyelenggaraan untuk armada KC-130J Kor Marin Amerika Syarikat yang berpangkalan di Iwakuni, Jepun.
Selain itu, AIROD turut menyediakan keupayaan Global Line Services (GLS) di peringkat antarabangsa termasuk pemulihan kemalangan, pembaikan kerosakan struktur dan kerja pengubahsuaian di seluruh Asia, Timur Tengah dan Afrika.
Berpangkalan di Subang, Selangor, AIROD telah berkhidmat kepada lebih 76 pelanggan di 35 negara dan kekal sebagai antara penyedia MRO C-130 terkemuka dunia. Lockheed Martin merupakan OEM bagi pesawat pengangkut taktikal C-130 Hercules. - DagangNews.com








