KUALA LUMPUR 15 Mei - AirAsia X Bhd mencatat kerugian pada suku pertama tahun ini akibat kerugian pertukaran matawang asing (forex) dan peningkatan kos bahan api mengatasi hasil pendapatan rekod serta permintaan penumpang yang kekal kukuh.
Syarikat penerbangan tambang murah itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM154.9 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), berbanding keuntungan bersih RM50.2 juta pada tempoh sama tahun lalu dan RM191.8 juta pada suku sebelumnya.
Pusingan kepada kerugian itu terutamanya disebabkan oleh kerugian forex sebanyak RM232.2 juta susulan penyusutan matawang serantau termasuk baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding dolar AS.
Hasil bagi 1QFY2026 meningkat kepada rekod RM5.95 bilion selepas selesai pengambilalihan perniagaan penerbangan Capital A Bhd pada Januari.
Pengasas bersama dan penasihat AAX, Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini memberi amaran mengenai tekanan pendapatan jangka pendek, dengan menyatakan semasa pengumuman tempahan 150 pesawat Airbus A220 pada 7 Mei bahawa syarikat berkemungkinan tidak mencapai sasaran keuntungan asal berikutan keadaan operasi yang mencabar.
Bilangan Penumpang
Dalam kenyataan pada Khamis, AAX berkata trafik penumpang kekal kukuh dengan kumpulan mengangkut 18.9 juta penumpang pada 1QFY2026, meningkat 9% berbanding tahun sebelumnya. Kapasiti turut berkembang 10%, manakala faktor muatan kekal stabil pada 85%.
Syarikat itu turut terjejas akibat kenaikan harga bahan api jet pada akhir Mac apabila harga melebihi AS$200 (RM785.44) setong. AAX berkata kesan tersebut pada awalnya lebih ketara di Malaysia berikutan pelarasan harga bahan api mingguan, menyebabkan tambahan kos sekitar RM200 juta.
Pasaran serantau lain pula lebih terlindung melalui mekanisme harga bulanan, namun impak lebih luas daripada harga bahan api tinggi dijangka dirasai pada suku kedua.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata syarikat kekal berhati-hati berikutan harga bahan api yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik, sekali gus mengamalkan pendekatan operasi lebih taktikal dengan memberi tumpuan kepada hasil dan margin berbanding pengembangan kapasiti.
Syarikat itu telah menggantung sementara 21 laluan dan merancang mengurangkan kapasiti suku kedua sebanyak 10% berbanding tahun sebelumnya.
Pengagihan kapasiti akan tertumpu kepada laluan yang memenuhi ambang pulangan minimum, selain mengekalkan fleksibiliti untuk memulihkan perkhidmatan apabila keadaan pasaran bertambah baik.
Dana AS$300 juta
Dari segi pembiayaan, AirAsia memperoleh dana AS$300 juta pada suku tersebut dengan terma lebih baik bagi membiayai semula hutang sedia ada dan mengurangkan obligasi prinsipal.
Kumpulan juga menyasarkan terbitan bon swasta atau awam pada suku kedua dan ketiga, selain meneruskan pembiayaan semula serta kemudahan modal kerja daripada pemberi pinjaman tempatan dan asing.
Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, syarikat itu berkata strategi jangka panjangnya untuk membina rangkaian penerbangan kos rendah kekal utuh, disokong pelan pemodenan armada.
AirAsia menerima pesawat Airbus A321LR (jarak jauh) pertama pada April dan baru-baru ini membuat tempahan 150 pesawat A220.
Saham AAX ditutup tidak berubah pada RM1.22 pada Khamis, menilai syarikat penerbangan itu pada kira-kira RM4.1 bilion. Saham tersebut susut hampir 32% setakat tahun ini. - DagangNews.com








