KUALA LUMPUR 20 Jan — AirAsia X Berhad (AAX) melantik Tharumalingam Kanagalingam atau Bo Lingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan baharu, yang berkuat kuasa dengan serta-merta.
Ia susulan pelantikan barisan kepimpinan baharu selepas AAX berjaya menyempurnakan pengambilalihan AirAsia Berhad (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) daripada Capital A Berhad.
Langkah itu sekali gus menyatukan semua operasi penerbangan jenama AirAsia di bawah satu entiti tersenarai, dengan beliau bertanggungjawab mengetuai hala tuju strategik keseluruhan kumpulan.
Bo Lingam, 60, sebelum ini berkhidmat sebagai CEO Kumpulan AAAGL, selepas beliau memulakan kerjaya dari peringkat awal lagi sejak menyertai AirAsia pada 2001 sebagai pengurus operasi darat.
"Lembaga Pengarah AAX meluluskan struktur pengurusan baharu memperkukuh pelaksanaan kepimpinan, meningkatkan tadbir urus serta menyokong fasa pertumbuhan strategik," katanya dalam kenyataan.
Di bawah struktur tersebut, Ahmad Al Farouk Ahmad Kamal pula dilantik sebagai Timbalan CEO Kumpulan, dengan tanggungjawab yang merangkumi pengawasan fungsi korporat dan operasi syarikat.
Bagi memperkukuh pengurusan kewangan dan rangka kerja tadbir urus, Low Kar Chuan dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, manakala Lavinia Louis pula sebagai Ketua Kewangan Kumpulan.
Sementara itu, Benyamin Ismail, yang sebelum ini merupakan CEO AAX, dinamakan sebagai Pengurus Besar dan kekal bertanggungjawab mengendalikan operasi harian syarikat penerbangan jarak jauh itu.
Dalam pada itu, Pengerusi AAX, Datuk Fam Lee Ee berkata pelantikan baharu ini mencerminkan komitmen lembaga memastikan kumpulan berada pada kedudukan terbaik melaksanakan keutamaan strategik.
“Setiap pelantikan membawa pengalaman dan keupayaan relevan yang akan menyokong transformasi berterusan serta penciptaan nilai jangka panjang AirAsia X,” kata beliau dalam kenyataan.
Bo Lingam pula berkata penyatuan operasi penerbangan jarak dekat dan jarak jauh di bawah satu struktur akan membolehkan kumpulan meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan rangkaian.
Dalam perkembangan berkaitan, AAX mengumumkan penyenaraian dan sebut harga 606.06 juta saham penempatan serta 2.31 bilion saham balasan, serta melengkapkan cadangan penempatan persendirian.
Syarikat juga sedang menilai kemungkinan pertukaran nama bagi mencerminkan penyatuan perniagaan penerbangan kumpulan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com








