KUALA LUMPUR 27 Jan – AirAsia rewards, di bawah naungan Capital A, menjalin kerjasama strategik dengan Versa, sebuah platform pengurusan aset kewangan digital, bagi memperluaskan rangkaian rakan kongsinya ke dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Melalui kerjasama itu, pengguna platform Versa berpeluang memperoleh mata ganjaran AirAsia yang boleh ditebus untuk penerbangan, penginapan hotel, perjalanan dan pelbagai ganjaran gaya hidup lain menerusi Aplikasi AirAsia MOVE, selari dengan ekosistem AirAsia yang menyeluruh.
Ketua Pegawai Operasi Capital A, Subashini Silvadas berkata, AirAsia rewards kekal komited untuk memperluaskan fungsi mata ganjaran AirAsia agar ahli memperoleh lebih banyak nilai daripada transaksi harian mereka.
“AirAsia rewards terus fokus memperluaskan fungsi mata ganjaran AirAsia bagi memastikan para ahli kami memperoleh lebih banyak ganjaran menerusi transaksi harian mereka.
“Integrasi pengurusan aset melalui kerjasama strategik dengan Versa ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan penglibatan pelanggan, serta mempelbagaikan cara ahli boleh memperoleh dan menggunakan mata ganjaran AirAsia mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Versa, Keith MacFarlaine berkata, kerjasama tersebut mencerminkan usaha untuk menjadikan pengurusan kewangan lebih mudah, bermanfaat dan menyeronokkan.
“Di Versa, kami percaya menabung dan melabur berkembang sedikit demi sedikit, dipengaruhi oleh pilihan yang kita buat setiap hari. Membina amalan pengurusan kewangan yang sihat seharusnya lebih mudah, memberi ganjaran, dan menyeronokkan.
“Melalui kerjasama kami dengan AirAsia rewards, kami ingin menunjukkan pengurusan kewangan dan gaya hidup yang menyeronokkan benar-benar boleh bergerak seiring,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, ahli AirAsia yang mendaftar sebagai pengguna baharu di platform pengurusan aset digital Versa dan membuat deposit minimum sebanyak RM100 akan menerima Ganjaran Selamat Datang Versa bernilai RM15 serta 400 mata AirAsia.
Untuk menebus ganjaran tersebut, ahli perlu mengikuti beberapa langkah bermula dengan mengklik baki mata ganjaran dalam aplikasi AirAsia MOVE dan memilih pilihan tebus sekarang pada paparan iklan “Free RM15 Welcome Reward + 400 AirAsia points” menggunakan 400 mata AirAsia.
Seterusnya, pengguna perlu pergi ke “My Vouchers”, klik “Gunakan Sekarang” untuk mendapatkan pautan unik, memuat turun aplikasi Versa dan mendaftar sebagai pengguna baharu menggunakan emel yang sama dengan akaun AirAsia MOVE sebelum memasukkan deposit minimum RM100 ke dalam mana-mana produk Versa.
Selepas melengkapkan proses tersebut, pengguna akan menerima ganjaran di mana RM15 akan dimasukkan ke dalam akaun Versa, manakala 400 mata AirAsia akan dikembalikan ke baki mata mereka sebagai permulaan perjalanan kewangan yang lebih bijak. - DagangNews.com








