SEMARANG 5 Sept - AirAsia Malaysia secara rasmi memulakan perkhidmatan baharu Kuala Lumpur–Semarang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing terbesar yang beroperasi di Indonesia dengan rangkaian antarabangsa paling luas ke negara tersebut.
Perkhidmatan baharu ini menghubungkan ibu negara Malaysia dengan hab utama Jawa Tengah, Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani, sebagai langkah strategik untuk meneroka peluang pelancongan dan perdagangan yang semakin berkembang di rantau itu.
Ia menambah destinasi dalam portfolio AirAsia di Indonesia, menawarkan akses terus kepada khazanah budaya, pusat komersial dan koridor pertumbuhan ekonomi Jawa Tengah.
“Dengan Lapangan Terbang Jenderal Ahmad Yani dikembalikan sebagai satu daripada 36 lapangan terbang antarabangsa di bawah Keputusan Menteri No. KM 37 tahun 2025, kepulangan AirAsia adalah tepat pada masanya,” kata Gabenor Jawa Tengah Ahmad Luthfi.
“Laluan Kuala Lumpur–Semarang memperkukuh aliran pelancongan, aktiviti perniagaan dan pelaburan ke Jawa Tengah, menyokong agenda nasional untuk menjadikan penerbangan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.”
Laluan ini dijangka merangsang perdagangan dua hala serta menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ketika Indonesia menyasarkan sehingga 16 juta ketibaan pelancong asing tahun ini.
Tourism Malaysia turut melihat perkembangan ini sebagai pemangkin perjalanan rentas sempadan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pelancaran penerbangan terus dari Semarang ke Kuala Lumpur mengukuhkan capaian untuk pelancong dari Jawa Tengah,” kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy. “Kesalinghubungan yang lebih baik ini bukan sahaja memudahkan pelancong Indonesia menikmati kepelbagaian budaya dan tarikan rekreasi Malaysia, malah menyokong persiapan kami untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.”
Bagi AirAsia, langkah ini menegaskan strateginya untuk berkembang melangkaui hab utama.
“Indonesia adalah pasaran antarabangsa terbesar AirAsia Malaysia dan kami berbangga mengesahkan kepimpinan kami sebagai LCC asing terbesar yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra.
“Penyertaan kami di Semarang mencerminkan komitmen untuk membangunkan bandar sekunder, bukan sekadar hab utama, dengan menyediakan akses terus yang mampu milik dan mudah untuk pelancong.”
AirAsia Malaysia kini beroperasi ke 17 destinasi di Indonesia — termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang dan Semarang — dengan perkhidmatan Pontianak bermula pada 12 September 2025.
Syarikat penerbangan ini turut menghubungkan Kuching ke Pontianak serta Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai syarikat penerbangan asing dengan liputan paling meluas di pasaran Indonesia. - DagangNews.com








