KUALA LUMPUR 23 Julai - Bekas Pengarah Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud diumumkan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) mulai 23 Julai 2025.
Pelantikan beliau dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Ramdzan memulakan kerjaya polisnya sebagai Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Kuala Lumpur) pada April 1987.
Sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Economic Extremist Threats, Cawangan Khas, PDRM; Pegawai Perhubungan Keselamatan di Washington DC, Amerika Syarikat; Ketua Cawangan Khas Johor; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sekretariat dan Penyelidikan Cawangan Khas; dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada tahun 2022.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau merupakan Presiden Federal Bureau Investigation National Academy Associates (FBINAA) Asia Pacific Chapter (7th Division Malaysia).
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains Kepujian (Pengurusan Maklumat) dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada tahun 2008.
Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Rahman Mohd Din yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 21 Julai lepas. - DagangNews.com








