KUALA LUMPUR 25 Sept – Ahli CPA Australia di Malaysia bakal menjadi kumpulan pertama yang berpeluang menjalani penempatan kerja sementara di Australia menerusi Program Pertukaran Profesional Muda (Young Professionals Exchange Program) yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT).
Program perintis ini akan dilaksanakan di Malaysia terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke pasaran Asia Tenggara lain.
Di bawah inisiatif ini, mana-mana organisasi yang mengambil bahagian dalam Recognised Employer Program CPA Australia boleh memohon untuk menyertai, di mana pekerja yang layak akan dipadankan dengan peserta dari Australia.
Ketua CPA Australia bagi Asia Tenggara, Priya Terumalay, berkata program tersebut membuka peluang unik bagi ahli Malaysia dan Australia untuk mendapatkan kelebihan daya saing kerjaya melalui pengalaman bekerja merentas pasaran sempadan.
“Kami komited untuk meningkatkan mobiliti global ahli CPA Australia dan amat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini.
"Pasaran Asia Tenggara berkembang pesat, maka peluang untuk memperoleh pengalaman kerja dan budaya di rantau ini sangat bermanfaat kepada ahli Australia serta majikan mereka,” jelas Priya, yang sudah hampir 30 tahun bersama CPA Australia.
Beliau menambah, ahli Malaysia pula akan mendapat manfaat profesional daripada peluang bekerja jangka pendek di pasaran matang seperti Australia, sekali gus membina hubungan berpanjangan yang dapat membantu mobiliti kerjaya.
Priya turut menyifatkan program ini sebagai pemangkin kepada majikan yang ingin memperkukuh hubungan perniagaan antara Malaysia dan Australia.
“Ini peluang unik untuk berhubung dengan organisasi sehaluan dan memudahkan pertukaran bakat baharu, agar mereka mendapat pendedahan dalam hubungan perniagaan antarabangsa – sesuatu yang boleh menjadi penentu ketika ikatan ekonomi Malaysia–Australia terus berkembang,” katanya.
Program pertukaran ini terbuka kepada individu berusia 40 tahun ke bawah dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman profesional. Tempoh penempatan adalah fleksibel mengikut persetujuan individu dan majikan, namun disarankan antara tiga hingga 12 bulan.
Bagi menyokong penyertaan, bantuan kewangan turut disediakan meliputi kos penerbangan, visa dan orientasi. Penempatan pertama dijangka bermula pada akhir 2025 atau awal 2026.
Program ini dilancarkan bersempena sambutan 70 tahun CPA Australia di Malaysia, yang kini memiliki lebih 10,500 ahli di negara ini.
Ahli boleh melayari laman web rasmi CPA Australia di Young Professionals Exchange Program | CPA Australia Untuk maklumat lanjut dan permohonan. - DagangNews.com








