KUALA LUMPUR 30 Jan — Agape ATP Corporation menerima notis daripada pengurusan Nasdaq Stock Market LLC pada 27 Januari 2026 berhubung ketidakpatuhan terhadap Peraturan Penyenaraian 5550(a)(2).
Syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu memaklumkan, isu tersebut timbul susulan harga bida penutup sahamnya kurang AS$1.00 (RM3.94) bagi tempoh dari 10 Disember 2025 hingga 26 Januari 2026.
Menurut kenyataan kumpulan yang ditubuhkan pada 2016 itu, harga berkenaan adalah di bawah paras minimum yang ditetapkan bursa tersebut untuk kekal disenaraikan dalam Nasdaq Capital Market.
"Bagaimanapun, notis peringatan berkenaan tidak menyebabkan berlaku penyahsenaraian secara serta-merta, dan saham Agape ATP masih lagi akan terus diniagakan di bawah simbol kod ATPC," jelasnya.
Nasdaq tambahnya, turut memberikan tempoh pematuhan awal selama 180 hari kalendar, iaitu sehingga 27 Julai 2026, kepada syarikat itu untuk segera memulihkan kembali harga bida minimum tersebut.
Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh itu, Agape ATP berpotensi memohon lanjutan tempoh pematuhan tambahan selama 180 hari, tertakluk kepada pemenuhan syarat penyenaraian berterusan.
Pada masa sama yang katanya, kumpulan berkenaan perlu menyerahkan notis secara bertulis mengenai pelan pembetulan harga tersebut, termasuk kemungkinan pelaksanaan penyatuan saham berkenaan.
"Agape ATP sedang menilai beberapa pilihan strategik bagi memastikan pematuhan semula terhadap keperluan penyenaraian Nasdaq, namun tiada jaminan pemulihan dalam tempoh ditetapkan," katanya.
Syarikat itu yang disenaraikan di pasaran berkenaan pada 11 Oktober 2023, banyak memberi tumpuan kepada isu peningkatan kualiti hidup dan pembangunan mampan, dengan dua teras perniagaan utama.
Ia melibatkan penyediaan produk kesihatan dan kesejahteraan, serta rumusan penjimatan elektrik bagi menyokong inisiatif kelestarian dan pengurangan penggunaan tenaga. - DagangNews.com








