Affin Group terbitkan Nota AS$300 juta, permulaan penyertaan pasaran bos dolar AS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Affin Group terbitkan Nota AS$300 juta, permulaan penyertaan pasaran bos dolar AS

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Jun - Affin Group mula menyertai pasaran bon dolar AS dengan terbitan nota kanan tanpa cagaran dengan nilai nominal sebanyak AS$300 juta (RM1.27 bilion) di bawah program nota jangka sederhana euro (EMTN) berjumlah AS$2 bilion (RM8.46 bilion).

 

Menurut bank itu, terbitan tersebut susulan penubuhan program EMTN dan penarafan kredit antarabangsa pertama Affin baru-baru ini pada A3 (Stabil) daripada Moody’s Investor Services, Inc.

 

“Nota itu dinilai pada 105 mata asas (bps) berbanding hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh lima tahun, menawarkan kadar tetap sebanyak 5.112% setahun dan diberi penarafan A3 (Stabil) oleh Moody’s Investor Services Inc, mengukuhkan prol kredit bank yang kukuh dan prospek yang stabil.

 

“Terbitan itu mendapat permintaan global yang tinggi, dengan permintaan pasaran akhir melebihi AS$1 bilion daripada 67 akaun pelabur, menunjukkan lebihan langganan sebanyak 3.5 kali ganda,” katanya.

 

Menurut Afn, pengagihan dari segi geografi terdiri daripada 87% kepada Asia, 11% kepada Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) serta 2% kepada pelabur luar pesisir AS.

 

Katanya mengikut jenis pelabur, nota tersebut diagihkan sebanyak 72 peratus kepada pengurus aset, dana/insurans, 24 peratus kepada bank dan empat peratus kepada bank persendirian/lain-lain.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Afn Group Datuk Wan Razly Abdullah berkata penampilan pertama bank dalam pasaran bon dolar AS merupakan satu perkembangan yang penting dalam strategi pasaran modal kumpulan yang menarik permintaan daripada pelabur global yang kukuh.

 

“Sambutan yang menggalakkan menggariskan keyakinan pelabur terhadap asas kami dan mengesahkan kredibiliti yang telah kami bina.

 

“Berdasarkan Pelan Afn Axelerate 2028 (AX28), kumpulan kekal komited untuk memanfaatkan nilai jangka panjang melalui perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab yang memberi impak,” katanya. - DagangNews.com