AEON buka cawangan pertama di Kuantan, beri peluang usahawan tempatan pasarkan produk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AEON buka cawangan pertama di Kuantan, beri peluang usahawan tempatan pasarkan produk

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan – AEON Co (M) Bhd kini beroperasi di Kuantan dengan pembukaan pasar raya pertamanya di East Coast Mall, langkah strategik AEON dalam memperluaskan pengaruhnya di Pantai Timur.

 

Pasar raya seluas 49,331 kaki persegi ini menjadi destinasi membeli-belah terbaharu yang menjanjikan pengalaman moden kepada penduduk Kuantan dan kawasan sekitarnya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata pembukaan AEON itu adalah satu lagi platform untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri tersebut.

 

 

 

 

 

 

“Selain merancakkan ekonomi tempatan, kewujudan AEON ini juga memberi nafas baharu kepada sektor peruncitan di Pahang.

 

“Ia juga memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk mereka kepada pelanggan yang lebih luas melalui platform AEON, membuka pintu kepada pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi memudahkan pengalaman membeli-belah, pasar raya ini dilengkapi kaunter pembayaran layan diri, troli pintar, serta pilihan penghantaran dan pengambilan fleksibel melalui aplikasi myAEON2go.

 

Sementara itu Timbalan Pengarah Urusan AEON Tsugutoshi Seko berkata Kuantan adalah lokasi terbaharu yang menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan berterusan syarikat itu untuk membawa pengalaman membeli-belah yang lebih moden dan selesa kepada rakyat Malaysia terutama di Pantai Timur.

 

“AEON berharap kehadiran di sini akan memberi lebih banyak pilihan alternatif untuk penduduk Kuantan mendapatkan pelbagai barangan yang berkualiti, segar dan memenuhi keperluan seisi keluarga,” katanya.

 

Pada Disember 2025, AEON turut melancarkan AEON STYLE Supermarket di Setia EcoHill, Semenyih dan pada 2026, beberapa cawangan baru dijangka dibuka termasuk AEON KL Midtown dan AEON STYLE Supermarket di Johor Bahru.

 

Selain pengembangan, AEON juga sedang memperbaharui beberapa outlet terpilih di seluruh negara, meningkatkan persekitaran membeli-belah yang lebih menarik dan selesa.

 

 

 

 

 

 

 

Dengan rangkaian yang kini merangkumi 27 AEON Mall, 34 AEON Store, enam MaxValu, 62 AEON Wellness, 48 kedai DAISO dan satu AEON STYLE Supermarket, AEON terus memantapkan kedudukannya dalam industri runcit Malaysia.

 

Inisiatif ini turut memperkukuh daya saing usahawan tempatan dan memberi peluang kepada produk Pahang untuk menapak ke platform lebih luas, termasuk pasaran Jepun yang terkenal dengan standard kualiti tinggi. - DagangNews.com