KUALA LUMPUR 15 Okt – Advancecon Holdings Berhad penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB) meraih kontrak bernilai RM36.1 juta daripada Sime Darby Property.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak berkenaan bagi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta kerja berkaitan untuk pembangunan kediaman Fasa SB 2 dan SB 3 (Bayu Serenia) yang terletak di dalam kawasan perbandaran Serenia City Fasa 3, Dengkil, Sepang, Selangor.
Menurut syarikat itu lagi, kontrak berkenaan merupakan sebahagian daripada kerja-kerja berterusan dalam pembangunan Serenia City, sebuah projek perbandaran utama di koridor selatan Lembah Klang.
"Kejayaan meraih kontrak ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam portfolio Advancecon yang semakin berkembang dalam projek-projek infrastruktur dan perbandaran berskala besar, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan strategik pilihan di kalangan pemaju hartanah utama negara," kata kenyataan itu.
Serenia City merupakan antara pembangunan ikonik Sime Darby Property yang dirancang sebagai sebuah Bandar Taman KLIA dengan kemudahan kediaman, komersial serta kawasan perindustrian, berteraskan konsep kelestarian, kehijauan dan keterhubungan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata, projek ini menyerlahkan reputasi kumpulan sebagai rakan kerja tanah dan infrastruktur yang boleh dipercayai, dengan keupayaan terbukti dalam menyampaikan hasil berkualiti tinggi dalam persekitaran perbandaran yang kompleks.
"Ia juga mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan Advancecon dalam menyokong pemaju terkemuka negara membina komuniti lestari,” katanya.
Dengan penganugerahan kontrak terbaharu ini, Advancecon terus mengukuhkan kehadiran strategiknya di koridor pertumbuhan utama di seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang, di mana pembangunan bandar dan industri terus memacu permintaan berterusan bagi perkhidmatan kerja tanah dan infrastruktur. - DagangNews.com








