KUALA LUMPUR 22 Sept - Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas skopnya sejak dua bulan lalu dijangka mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menambah beban kos hidup kepada orang ramai.
Ini kerana SST berpotensi mewujudkan kesan “cukai atas cukai”.
Tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), SST tidak mempunyai mekanisme kredit cukai input – bermaksud perniagaan tidak boleh menuntut semula cukai yang dibayar atas input.
Kos berkenaan lazimnya akan dipindahkan kepada pengguna. “Kerajaan menjangkakan tambahan kutipan hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini daripada peluasan skop SST, menjadikan unjuran kutipan 2025 meningkat kepada RM51.7 bilion berbanding RM46.7 bilion sebelum ini.
“Kutipan lebih tinggi ini dicapai melalui kadar yang dinaikkan dan skop yang diperluaskan, tetapi tanpa mekanisme kredit input seperti GST. Ini menunjukkan SST yang diperluas lebih membebankan serta tidak cekap dari segi kos kepada perniagaan dan rakyat,” kata Akauntan Bertauliah, Datuk Koong Lin Loong kepada StarBiz7, sambil menambah pengguna akhirnya mungkin menanggung lebih daripada kadar 6% atau 8% yang diumumkan.
Rejim SST kini diperluas kepada lima kategori perkhidmatan baharu – sewaan atau pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Dalam usaha meringankan beban rakyat, rangka kerja baharu SST hanya mengenakan cukai ke atas barangan tidak keperluan dan barangan import yang sebelum ini dikecualikan, di samping mengekalkan kadar sifar bagi pengganti tempatan.
Terdapat juga pengecualian dalam bentuk pelepasan kumpulan (bagi urus niaga antara unit perniagaan dalam kumpulan korporat yang sama) dan urus niaga perniagaan-ke-perniagaan (B2B) melibatkan perkhidmatan bercukai antara syarikat berdaftar SST.
Langkah ini bertujuan mengurangkan kesan berganda daripada peluasan SST.

Hasil kurang RM1 juta dikecualikan
Perusahaan kecil turut dilindungi – tiada SST dikenakan bagi syarikat dengan pendapatan tahunan kurang RM1 juta dalam perkhidmatan kewangan, sewaan dan pajakan, serta RM1.5 juta bagi sektor pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta.
Namun, kumpulan industri berpendapat perlindungan ini masih terhad kerana pengecualian didefinisikan dengan ketat dan banyak input tetap dikenakan SST.
Malah menikmati pengecualian B2B bukanlah mudah – seorang kontraktor yang membayar perkhidmatan arkitek, jurutera dan akauntan tidak layak mendapat pengecualian walaupun semua kerja berkaitan projek sama.
Kontraktor dikategorikan di bawah perkhidmatan pembinaan, manakala arkitek dan jurutera pula di bawah perkhidmatan profesional.
Pengarah Urusan Thannees Tax Consulting Services Sdn Bhd, S M Thanneermalai berkata pengecualian B2B perlu diperluaskan agar setiap kali perniagaan berdaftar SST memperoleh perkhidmatan bercukai daripada yang lain, pengecualian turut terpakai. “Ini penting bagi mengelak kesan cukai atas cukai. Tanpanya, kesan berganda akan berterusan dengan kos tambahan akhirnya ditanggung pengguna,” katanya.
Walaupun bahan binaan utama seperti simen, pasir dan besi kekal dikecualikan daripada cukai jualan, Thanneermalai menegaskan apabila firma menyediakan perkhidmatan pembinaan, ia turut merangkumi bahan binaan seperti simen dan batu-bata.
Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas keseluruhan nilai kontrak – termasuk kos buruh dan bahan binaan.
“Kecuali kontrak diasingkan antara barangan dan perkhidmatan – sesuatu yang jarang berlaku – pengecualian cukai bagi bahan binaan memberi kelegaan yang sangat sedikit,” jelasnya.

Walaupun kerja pembinaan kediaman persendirian dan perumahan awam dikecualikan SST, Rakan Kongsi Cukai Tidak Langsung Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd (EY), Yeoh Cheng Guan menegaskan pemaju projek pembangunan bercampur – yang menggabungkan kediaman dan komersial – tetap tertakluk kepada 6% SST ke atas keseluruhan nilai projek.
“Di bawah peraturan semasa, SST dikenakan ke atas keseluruhan kontrak pembangunan bercampur walaupun kediaman persendirian dikecualikan. Pemaju berdepan tambahan 6% cukai perkhidmatan.
“Akibatnya, ada syarikat menangguhkan pelancaran projek baharu sementara menunggu penjelasan lanjut pihak berkuasa. Bagi projek yang sedang berjalan, caj berkaitan seperti pengurusan projek, arkitek dan kejuruteraan turut dikenakan SST, sekali gus meningkatkan kos pembangunan.
“Pengecualian B2B yang sempit menyukarkan syarikat mengimbangi cukai ini, memberi tekanan tambahan kepada margin keuntungan pemaju yang sudah sedia tipis,” katanya.
Pusat beli-belah turut terkena kesan
Perjanjian pajakan membenarkan tuan tanah memindahkan cukai SST secara automatik kepada penyewa. Seorang pemilik pusat beli-belah utama berkata ada penyewa yang sudah menaikkan harga.
Keadaan dijangka lebih panas hujung tahun apabila tempoh pajakan diperbaharui. Penyewa mungkin menuntut kelonggaran.
Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia, Yulia Nikulicheva, bagaimanapun percaya kebanyakan tuan tanah mengambil pendekatan strategik dengan memberi masa kepada penyewa menyesuaikan diri.
“Kebanyakan menunjukkan lebih fleksibiliti ketika rundingan pajakan. Hanya segelintir projek melaksanakan pelarasan kadar sewa,” katanya.
Pengarah Agensi Harta Tanah Rahim & Co International Sdn Bhd, Siva Shanker pula berkata ia bergantung kepada kuasa tawar-menawar.
Menurutnya, sesetengah tuan tanah pejabat lebih sanggup menyerap kos sekiranya kadar penghunian rendah, memandangkan lebihan bekalan ketika ini.
Perkara sama mungkin berlaku kepada pusat beli-belah bertaraf rendah. Namun bagi pejabat dan pusat beli-belah utama dengan kadar penghunian tinggi, penyewa mungkin tidak banyak pilihan.
Memandangkan peluasan skop SST memberi kesan lebih besar kepada sektor dengan perbelanjaan sewa tinggi, kadar 8% dikira berdasarkan jumlah sewa, sektor pejabat dan runcit serta logistik paling terjejas.
“Akhirnya, hasil di hujung rantaian bekalan tetap sama: kos lebih tinggi akibat SST akan memaksa penyewa menyesuaikan harga,” kata Nikulicheva.

Kos Tersembunyi
Bagi pengguna, kenaikan ini mungkin tidak tertera jelas pada resit secawan kopi atau sepasang kasut, tetapi kos tersembunyi SST akan terbina dalam harga akhir. Walau bagaimanapun, strategi pemindahan kos tidak semestinya berkesan sepanjang masa.
Ahli Ekonomi Kanan UOB, Julia Goh berkata barangan dan perkhidmatan asas – seperti makanan, pengangkutan awam, utiliti dan penjagaan kesihatan – cenderung mempunyai permintaan yang lebih stabil atau “melekit”, bermaksud orang ramai terus bergantung walaupun harga naik.
Namun, pengguna boleh menyesuaikan gaya hidup akibat kenaikan kos. Sebagai contoh, mereka yang sebelum ini memilih penjagaan kesihatan swasta atau pengangkutan persendirian mungkin beralih kepada perkhidmatan awam untuk mengurus perbelanjaan.
“Sebaliknya, permintaan terhadap barangan tidak penting seperti makan di luar, pakaian berjenama atau hiburan lebih anjal.
"Perniagaan dalam sektor ini mungkin kurang mampu memindahkan kos secara langsung kerana pengguna lebih cenderung mengurangkan perbelanjaan atau beralih kepada pilihan lebih murah,” katanya. - DagangNews.com








