Ab Aziz Ismail kembali sebagai CFO MSM Malaysia Holdings mulai 1 April 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ab Aziz Ismail kembali sebagai CFO MSM Malaysia Holdings mulai 1 April 2025

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Mac - Ibarat `sirih pulang ke gagang', Ab Aziz Ismail kembali ke MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), anak syarikat 51% milik FGV Holdings Bhd, sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) mulai 1 April 2025.

 

Ab Aziz, pernah memegang jawatan CFO itu dari Jun 2019 hingga Disember 2022, akan menggantikan Nur Izwan Mohd Nawawi, menurut makluman MSM di Bursa Malaysia.

 

Sebelum menyertai semula MSM, Ab Aziz berkhidmat sebagai akauntan sektor di FGV Holdings Bhd.

 

Nur Izwan dilantik sebagai CFO interim pada Ogos tahun lalu berikutan peletakan jawatan Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar.

 

Mazatul menjadi tumpuan tahun lalu selepas diletakkan dalam cuti selama lebih tiga bulan — dari 20 Okt 2023, hingga 1 Feb 2024 — untuk memudahkan siasatan dalaman.

 

Mazatul kemudiannya meninggalkan syarikat itu pada Ogos 2024 untuk mengambil jawatan CFO di sebuah institusi kewangan, menurut pemfailan MSM sebelum ini.

 

MSM melaporkan keuntungan bersih RM71.69 juta bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2024 (4QFY2024), peningkatan 67% daripada RM42.87 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, berikutan kos pengeluaran yang lebih rendah dan keuntungan komoditi bersih mengimbangi sedikit penurunan dalam hasil.

 

Hasil suku tahunan susut 0.7% tahun ke tahun kepada RM943.59 juta disebabkan harga yang lebih rendah walaupun jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), MSM kembali kepada keuntungan dengan keuntungan bersih RM31.25 juta, berbanding kerugian bersih RM49.88 juta pada tahun sebelumnya, manakala jumlah hasil meningkat 14.7% kepada RM3.54 bilion.

 

Ketika pasaran ditutup pada 28 Mac, saham MSM susut tiga sen atau 2.5% kepada RM1.15, menilai syarikat penapis gula terbesar negara itu pada RM808.4 juta. - DagangNews.com