KUALA LUMPUR 14 Jan - AirAsia X Berhad (AAX) dijangka mencatat satu lagi pencapaian penting susulan berjaya melengkapkan penempatan persendirian berjumlah RM1 bilion, menurut Public Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, dana dengan harga terbitan bagi cadangan berkenaan iaitu RM1.65 sesaham, dilaporkan sudah habis dilanggan sepenuhnya oleh pelbagai pelabur institusi dan individu.
Menurutnya, penyiapan pengumpulan dana ini menandakan syarat akhir yang kritikal bagi pengagihan saham AAX, sekali gus membuka laluan kepada pengambilalihan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL).
"Kami menjangkakan yang proses penggabungan dapat dilaksanakan secara serentak dengan penyenaraian saham penempatan persendirian pada 19 Januari 2026," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Peruntukan saham dijadualkan pada 16 Januari 2026, manakala saham bagi pengambilalihan AAAGL turut akan diterbitkan sekali, menjadikan langkah ini fasa penutup kepada proses penyusunan semula besar.
Justeru, firma tersebut mengekalkan saranan 'outperform' ke atas AAX dengan harga sasaran RM2.15, yang diselaraskan bagi mengambil kira kesan penempatan persendirian serta penggabungan AAAGL.
Situasi itu jelas PublicInvest, berdasarkan kepada penilaian sebanyak tujuh kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) daripada entiti gabungan kumpulan penerbangan berkenaan bagi tahun kewangan 2026.
Artikel berkaitan: Airasia X akan dinamakan semula sebagai AirAsia bermula 19 Januari ini - Tony Fernandes
"Prestasi AAX dijangka terus disokong oleh faktor musim cuti puncak pada tempoh suku keempat dan suku pertama, selain tempahan hadapan yang masih memberangsangkan di pasaran teras," tambahnya.
AAX juga kata firma penyelidikan tersebut, merancang penambahan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi di Australia dan rantau Asia Timur bagi memenuhi trend lonjakan permintaan perjalanan.
Dari sudut strategik pula, syarikat berkenaan dijangka sedang mempercepatkan perluasan rangkaian antarabangsa dengan pelancaran laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan dan Istanbul, Türkiye.
Usaha tersebut kata PublicInvest, sejajar dengan strategi AAX menembusi pasaran rantau Asia Tengah dan Asia Barat, selepas kejayaan laluan Almaty, Kazakhstan yang berjaya menerima sambutan baik.
"Kami namun menegaskan isu kelewatan pengaktifan pesawat terakhir akibat kekangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) global masih kekal sebagai risiko operasi jangka pendek," jelasnya.
Bagaimanapun tambah firma berkenaan, penggabungan unit penerbangan Capital A ke dalam AAX yang hampir dimuktamadkan dijangka membentuk kumpulan penerbangan berskala lebih besar dan lebih cekap.
Langkah ini ujar PublicInvest, menghasilkan sinergi operasi lebih kukuh, iaitu satu faktor utama yang dilihat mampu menarik minat pelabur dalam fasa pemulihan industri penerbangan. - DagangNews.com








