99 Speed Mart catat hasil RM3.04 bilion 3QFY25, umum dividen 2.25 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

99 Speed Mart catat hasil RM3.04 bilion 3QFY25, umum dividen 2.25 sen sesaham

Dalam pasaran domestik, 99 Holdings juga mengukuhkan kehadiran apabila berjaya memasuki Kelantan dengan pembukaan cawangan di Gua Musang, menjadikan syarikat kini mempunyai rangkaian di setiap negeri di Malaysia.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Nov – 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Holdings), rangkaian pasar raya mini tempatan terbesar negara, terus mencatat prestasi kukuh pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (Q3FYE2025) apabila merekodkan pertumbuhan mantap dari segi hasil, keuntungan dan jumlah transaksi.

 

Dalam kenyataan media, syarikat itu memberitahu bagi suku dikaji, 99 Holdings mencatat hasil RM3.04 bilion, meningkat 19.1% tahun ke tahun (Y-o-Y).

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 45.8% kepada RM211.6 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 49.9% kepada RM160.7 juta.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Selepas menormalkan angka dengan mengecualikan bonus khas kakitangan, caruman statutori serta perbelanjaan penyenaraian IPO pada Q3FYE2024, PAT sebenarnya meningkat 27.5% Y-o-Y," kata kenyataan itu.

 

Pertumbuhan ini disokong oleh peluasan rangkaian kedai yang berterusan, dengan pertambahan bersih 269 cawangan dalam tempoh setahun, menjadikan jumlah keseluruhan 2,966 cawangan sehingga 30 September 2025, naik 10%.

 

Jumlah transaksi meningkat 18.3% kepada 141.8 juta, disertai peningkatan kecil saiz bakul purata kepada RM21.4. Pendapatan operasi lain turut melonjak 19.4%, dipacu peningkatan pendapatan elaun seiring pertambahan kedai.

 

Sembilan bulan pertama turut tunjuk momentum kukuh

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan (9MFYE2025), 99 Holdings merekodkan hasil RM8.4 bilion, meningkat 13.0% Y-o-Y. PBT dan PAT masing-masing meningkat kepada RM604.8 juta (+22.7%) dan RM457.0 juta (+24.9%).

 

PAT ternormal naik 18.4% Y-o-Y selepas pelarasan kos sekali sahaja berkaitan bonus dan IPO pada tahun sebelumnya.

 

Jumlah transaksi 9MFYE2025 turut naik 13.2% kepada 390.3 juta transaksi. Platform e-dagang syarikat juga menunjukkan pertumbuhan ketara dengan sumbangan hasil RM50.4 juta, berbanding hanya RM13.8 juta pada tempoh sama tahun lalu — peningkatan RM36.6 juta.

 

Dividen 2.25 sen diagih, bernilai RM189 juta

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen keseluruhan 2.25 sen sesaham, merangkumi dividen interim kedua 2.0 sen dan dividen khas 0.25 sen, dengan jumlah pembayaran sekitar RM189 juta.

 

Tarikh kelayakan ditetapkan pada 2 Disember 2025, manakala pembayaran dibuat pada 12 Disember 2025.

 

Jejak antarabangsa pertama di Fuzhou, kini berada di semua negeri di Malaysia

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata syarikat berpuas hati dengan pencapaian kukuh suku ini, yang mencerminkan ketahanan model perniagaan syarikat.

 

“Hasil memberangsangkan ini mencerminkan strategi pertumbuhan kami yang berkesan, termasuk campuran produk optimum pada harga kompetitif. Ini jelas ditunjukkan melalui pertumbuhan transaksi dua angka serta kenaikan marginal saiz bakul,” katanya.

 

Beliau turut menyifatkan suku ketiga sebagai tempoh bersejarah bagi syarikat, selepas 99 Speed Mart membuka kedai pertamanya di Fuzhou, China pada 31 Ogos 2025 — kemasukan pasaran luar negara pertama syarikat.

 

“Langkah ini berfungsi sebagai fasa prototaip untuk memahami tingkah laku pengguna tempatan dan menilai potensi pasaran sebelum peluasan seterusnya,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 

Dalam pasaran domestik, 99 Holdings juga mengukuhkan kehadiran apabila berjaya memasuki Kelantan dengan pembukaan cawangan di Gua Musang, menjadikan syarikat kini mempunyai rangkaian di setiap negeri di Malaysia.

 

Thiam Wah berkata syarikat kekal komited meningkatkan aksesibiliti pelanggan dan yakin berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pembukaan 250 cawangan baharu tahun ini, sekali gus melepasi 3,000 cawangan menjelang akhir 2025- DagangNews.com